Selepas ‘kehilangan’ khidmat Toprak Razgatlioglu bagi musim depan, antara yang menjadi keutamaan kem Yamaha ketika ini adalah mencari pengganti berkaliber bagi memacu pasukan itu mengharungi kempen Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).
Tak mahu menunggu lama, Yamaha menandatangani kontrak lanjutan untuk pelumbanya, Andrea Locatelli tetapi apa yang memeningkan kepala pastinya siapa yang mengisi kekosongan ditinggalkan jaguh Turki berkenaan.
Pengurus Perlumbaan Yamaha Motor Eropah, Andrea Dosoli sebelum ini berkata menaikkan ‘pangkat’ pelumba pasukan ‘satelit’ adalah objektif utama jika Toprak berhijrah.
Tetapi memandangkan status tinggi yang dimiliki Toprak sebagai juara dunia WSBK 2021 dan naib juara dunia tahun lalu, timbul laporan menyatakan pasukan itu sedang ‘memburu’ nama-nama besar termasuk dari kancah berprestij MotoGP.
Menurut laporan Motosprint.com, antara nama yang dikaitkan dengan Yamaha di WSBK adalah bekas juara dunia Moto2 dari Perancis, Johann Zarco yang ketika ini beraksi di MotoGP bersama pasukan satelit Ducati, Pramac Racing.
Seorang lagi pelumba dari kempen MotoGP yang berada dalam radar adalah Fabio Di Giannantonio yang juga pelumba pasukan satelit Ducati di MotoGP, Gresini Racing MotoGP.
Menurut laporan, perbincangan bersama Zarco sudah pun berjalan tetapi tidak diketahui sama ada perbincangan untuk pemenang podium di GP Perancis, bulan ini itu juga sedang berbincang dengan Ducati membabitkan perjanjian baharu.
Untuk pelumba Itali, Di Giannantonio, prestasi yang ditampilkan pada musim ini tampak tidak ‘seimbang’ dengan barisan pelumba Ducati di MotoGP dan jika persembahan sama dikekalkan, peluang untuknya kehilangan ‘kerusi’ di Gresini tampak besar.
Selain dua pelumba dari MotoGP, seorang lagi pelumba yang turut dikaitkan dengan Yamaha adalah pelumba Britain, Sam Lowes yang juga bekas juara dunia kelas Supersport yang kini beraksi dalam kelas Moto2.
Sekalipun prestasinya di Moto2 musim ini nampak sedikit terumbang ambing, tetapi menurut Motosprint.com, perpindahan ke Yamaha dalam kempen WSBK adalah peluang terakhir buat pelumba berusia 32 tahun itu.
Kepada yang tak tahu, Toprak bertindak meninggalkan Yamaha selepas ‘tak gembira’ dengan haluan yang ditetapkan pasukan itu untuknya dan memilih BMW Motorrad sebagai destinasinya bagi musim 2024.
Sebagai info, Yamaha turut memiliki nama-nama besar dalam pasukan satelit di WSBK antaranya bekas juara dunia Moto2, Remy Gardner, pelumba Itali, Lorenzo Baldassarri, pelumba Switzerland, Dominique Aegerter dan Bradley Ray.
Sumber imej: FB Pata Yamaha Prometeon WSBK, Johann Zarco, Fabio Di Giannantonio, Sam Lowes
Source: Yamaha ‘pening’ cari pengganti Toprak, jagoan MotoGP antara kena ‘petik’!