Jagoan Yamaha dari Turki, Toprak Razgatlioglu dikatakan sudah menolak tawaran lanjutan kontrak daripada pengeluar gergasi Jepun itu dengan perbincangan dengan BMW Motorrad dikatakan sedang berjalan.
Perkembangan itu diumumkan oleh Pengurus pelumba itu, Kenan Sofuoglu memetik laporan Crash.net dengan keputusan Toprak menolak tawaran berkenaan adalah disebabkan dia ‘agak tidak berpuas hati’ dengan hala tuju pengeluar Jepun itu.
Ketika Toprak masih ‘berteka-teki’, beberapa nama besar di WSBK (Kejuaraan Superbike Dunia) yang sudah mengesahkan kontrak bersama pasukan masing-masing termasuk penyandang juara dunia Alvaro Bautista (Ducati) dan Jonathan Rea (Kawasaki).
Menurut laporan, sasaran utama bintang Turki itu adalah perpindahan ke MotoGP musim depan tetapi Yamaha mempunyai pandangan yang berbeza.
“Kami menolaj tawaran Yamaha,” kata Sofuoglu kepada Speedweek.com. “Mereka tidak menawarkan kami apa yang saya bayangkan. Saya memberitahu Yamaha yang kami mahukan komitmen di Catalunya, dan saya tidak akan berbincang dengan pengeluar lain sebelum itu.
“Tetapi kini, saya sudah mula berbincang dengan pengeluar lain. Saya mendapat tawaran daripada BMW dan turut berbincang dengan Kawasaki serta beberapa pengeluar di MotoGP. Toprak berminat dengan BMW. Dan saya tidak mendapat tawaran daripada Honda.”
“Apabila kami menyertai Yamaha pada 2020, ramai yang menasihati saya jangan melakukannya dan berkata ia akan merosakkan karier Toprak. Toprak kurang berpuas hati di Yamaha ketika ini, jadi kita tidak dapat melihat prestasi terbaiknya ketika ini.
Memetik laporan motorcyclesports.net pula, Yamaha dikatakan menawarkan Toprak kontrak lumayan 1.5 Euro (RM 7.32 juta) untuk lanjutan kontraknya dan kekal di WSBK.
Menurut Ketua Yamaha Eropah (Sukan Permotoran), Andrea Dosoli kepada Corsidemoto, angka yang ditawarkan kepada Toprak adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding gaji yang diperoleh Bautista ketika ini sekaligus menjadi pelumba termahal dalam sejarah WSBK.
Ketika ini, penerima gaji tertinggi di WSBK adalah Rea yang memperoleh gaji 1.2 Euro (RM 5.85 juta) daripada Kawasaki dan ia belum ditambah pelbagai insentif termasuk bonus kemenangan.
“Apa yang positif adalah Yamaha menawarkan kami kontrak jangka panjang dan kami mempunyai hubungan yang rapat dengan Yamaha Turki,” kata Sofuoglu. “Saya tidak akan tergesa-gesa, mungkin kami tidak akan memutuskan apa-apa di mana destinasi Toprak sehingga musim panas.”
Sumber imej: FB Toprak Razgatlıoglu, Kenan Sofuoğlu
Source: Toprak tolak tawaran RM 7.3 juta Yamaha, perbincangan dengan BMW sedang berjalan!