Jika berdasarkan sumber yang kami peroleh, Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) dijadual melancarkan model terbaharu jenama itu, Modenas Dominar 250 (2023) pada bulan ini dan berkemungkinan besar sempena sempena Malaysia Autoshow 2023.
Tetapi ada satu lagi perkembangan menarik diperoleh apabila syarikat itu turut dikatakan bakal melancarkan satu lagi model ‘kemas kini’ iaitu Modenas Dominar 400 Touring (2023).
Pertama kali diperkenalkan di pasaran India beberapa tahun lalu, Dominar 400 Touring, seperti namanya adalah varian yang lengkap dengan kelengkapan aksesori ‘Touring’ atau jelajah dan datang secara standard.
Antara aksesori yang dipadankan itu termasuklah ‘Tall Visor’, ‘Hand Guard’, ‘USB Charging Port’, ‘Navigation Stay’, ‘Leg Guard’, ‘Engine Bash Plate’ dan ‘Carrier + Back Stopper’.
Tiada perubahan dari sudut rekaan dan trenkuasa dijalankan terhadap model berkenaan. Justeru, trenkuasanya kekal dengan enjin bersesaran 373.3 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC, DTSi yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 40 Hp pada 8,650 rpm dan 35 Nm pada 7,000 rpm.
Selain tampil dengan penawaran harga yang cukup ‘marhaen’ (sekitar RM 14-15k versi standard), antara kelebihan motosikal ini adalah ia turut dilengkapi dengan komponen premium dan ciri menarik.
Antaranya ialah fork jenis terbalik (USD), brek cakera depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), klac Assist & Slipper, muffler ekzos jenis berkembar, sistem lampu LED penuh serta panel meter digital LCD.
Jadi dengan gabungan spesifikasi, tanda harga menarik dan ditambah dengan aksesori ‘touring’ secara standard, ia sememangnya boleh dianggap antara model paling berbaloi untuk didapati di pasaran tempatan ketika ini.
Kepada yang berminat, anda boleh mengunjungi reruai Modenas di Malaysia Autoshow 2023 yang dijadual bermula pada 4 hingga 7 Mei ini di Maeps.
Source: Tak cukup Dominar 250, Modenas dijadual lancar Dominar 400 Touring (2023) di Malaysia Autoshow 2023!