Honda secara rasmi memperkenalkan skuter elektrik ‘produksi’ pertamanya diberi nama Honda EM1 e:, skuter yang memiliki keupayaan menyamai skuter konvensional dengan sesaran enjin 50 cc di Eropah, baru-baru ini.
Sebagai permulaan dan kepada yang tertanya-tanya apakah maksud EM1 e:, ia memberi pengertian berikut: ‘EM’ bermaksud ‘Electrik Moped’. ‘1’ memberi maksud skuter atau moped pertama Honda dan ‘e:’ bermakna ia direka sebagai sebahagian daripada rangkaian e-mobiliti Honda.
Dari sudut rekaan, Honda EM1 e: tampak seperti skuter elektrik tipikal yang banyak dihasilkan, terutama di China ketika ini dengan dek rata.
Dikatakan bakal memberi persaingan kepada Yamaha NEO yang dilancarkan tahun lalu, Honda EM1 e: dipacu motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 1.7 kW atau 2.3 Hp (puncak) dan tork setinggi 90 Nm.
Dijana bateri lithium-ion boleh cabut buatan Honda dikenali sebagai Pek Kuasa Mudah Alih Honda e:, skuter ini boleh mencapai jarak perjalanan 48 km untuk pengecasan penuh dalam mod ‘Econ’ yang berkemungkinan bermaksud ekonomi.
Tetapi Honda turut mengesahkan dalam ujian WMTC Class 1, (Kuasa penuh) jarak perjalanan yang diperoleh hanyalah 30 km. Dan kelajuan tertinggi skuter berkenaan adalah 45 km/j.
Dari sudut pengecasan, bateri yang digunakan boleh dicas daripada 25 peratus ke 75 peratus dalam tempoh 160 minit.
Sedikit berbeza dari segi pemilikan, pengguna tidak boleh datang ke cawangan pengedar Honda untuk mendapatkan Honda EM1 e: kerana ia bukan untuk dijual, namun hanya diberikan dalam bentuk sewaan.
Antara sebabnya adalah Honda berkata ia mahu pelanggan mengambil tanggungjawab terhadap proses pelupusan atau kitar semula Pek Kuasa Mudah Alih Honda e:. Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Pearl Sunbeam White, Digital Silver Metallic dan Matte Ballistic Black Metallic.
Sistem brek skuter ini menggunakan cakera (depan) dan dram (belakang) dengan sistem CBS. Suspensi dijana fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang).
Berat skuter ini adalah 95 kg, yang termasuk berat bateri 10 kg. Ciri-ciri lain termasuklah storan bawah pelana 3.3 liter, pengecas USB dan kepada yang mahukan kapasiti storan yang lebih besar, turut tersedia adalah ‘top box’ Honda berkapasiti 35 liter.
Setakat ini, Honda masih belum mengumumkan bila Honda EM1 e: akan tiba di bilik pameran pengedarnya tetapi menurut media automotif Eropah, ia dijangka pada penghujung tahun ini.
Source: Skuter elektrik Honda, EM1 e: debut di Eropah, 2.3 Hp, 90 Nm tork, kelajuan maksimum 45 km/j!