Proton melancar Pusat Alat Ganti Serantau di Kuching, boleh simpan stok untuk 3 bulan terus!

Proton sebentar tadi baru sahaja mengumumkan pembukaan rasmi Pusat Alat Ganti Serantau di Kuching, Sarawak. Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia Timur, kemudahan ini boleh mengurangkan masa penghantaran alat ganti sekurang-kurangnya 30%, sekaligus memastikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik.

Secara teknikal, Pusat Alat Ganti Serantau Proton ini terletak di Kawasan Perindustrian Bintawa dengan keluasan 28,000 kaki persegi. Ia boleh menerima enam kontena berisi alat ganti secara serentak dan kini sedang memproses dalam purata 17 buah kontena sebulan dengan kadar penyimpanan stok sehingga tiga bulan. Selain itu, ia juga mampu menerima penghantaran terus dari luar negara.

“Dengan peningkatan permintaan pelanggan sejak empat tahun lalu, kemudahan gudang Proton di Malaysia Timur sebelum ini melimpah dengan alat ganti kerana ruang yang terhad. Pusat Alat Ganti Serantau baharu di Kuching pula tiga kali lebih besar daripada gudang sebelumnya dan akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sarawak serta Sabah jika perlu.

“Ruang tambahan ini juga membolehkan Proton meningkatkan penghantaran sebanyak 50%, iaitu daripada 3,000 tempahan sebulan kepada 4,500 tempahan sebulan dengan kapasiti maksimum sebanyak 6,000 tempahan sebulan sekiranya diperlukan. Ini membolehkan kami mencapai lebih banyak pengeluaran alat ganti dan buat masa sekarang, kami sedang menyelesaikan tempahan yang tertunggak daripada pengedar dan pelanggan kami,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton semasa menganjurkan lawatan ke Pusat Alat Ganti Serantau oleh pengedar Proton di Sarawak.

Untuk makluman anda, Pada 2022, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang sebanyak 15% terhadap jumlah jualan syarikat, manakala bahagian pasaran telah berkembang daripada 10% pada tahun 2018 kepada 20% pada tahun 2022. Ini merupakan satu peningkatan secara berterusan sejak tahun 2019 selepas memperkenalkan Proton X70. Kalau anda nak tahu, populariti model siri X bukanlah satu-satunya pemacu pertumbuhan mereka. Proton Saga yang kekal sebagai model paling popular juga merupakan salah satu faktor. Pada tahun lepas, tiga model Proton yang menduduki tangga teratas dalam carta jualan di Malaysia Timur ialah Proton Saga (10,242 unit), diikuti Proton X50 (4,181 unit) dan Proton Persona (2,605 unit).

Juga bacaJualan Proton kencang pada 2022, membolehkan DRB-HICOM catat keuntungan sebanyak RM 409.99 juta sebelum cukai!

“Proton menjual 7,697 unit di Malaysia Timur pada 2018 tetapi tahun lepas, sebanyak 19,844 unit telah dijual, iaitu bersamaan dengan pertumbuhan jualan sebanyak 158%. Kami menyasarkan untuk mencapai angka yang lebih besar buat tahun ini dengan peningkatan berterusan dalam perkhidmatan selepas jualan serta pelancaran model baharu dan model kemaskini.

“Kepuasan pelanggan kekal sebagai matlamat kami, dan kami tahu Proton masih perlu berusaha meningkatkan tahap perkhidmatan selepas jualan. Setiap langkah positif yang kami ambil akan membawa lebih dekat kepada sasaran kami, dan kami kekal komited untuk menyediakan produk berkualiti tinggi, seiring dengan tahap sokongan selepas jualan yang sama tinggi,” tambah Roslan Abdullah.

Source: Proton melancar Pusat Alat Ganti Serantau di Kuching, boleh simpan stok untuk 3 bulan terus!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *