Porsche Cayenne facelift 2024 baharu – ini perkara yang dikemaskini sebelum anda beli!

Porsche telah melancarkan penampilan baharu bagi 2024 Porsche Cayenne facelift di Shanghai Auto 2023. Porsche Cayenne baharu ini mempunyai penggerak kuasa, rangka, reka bentuk dan kelengkapan yang dikemas kini.

Porsche telah menaik taraf sistem paparan dan kawalan bagi Cayenne baharu, menawarkan kluster instrumen 12.6-inci dengan reka bentuk lengkung dan bebas daripada skrin lain, serta pelbagai pilihan paparan digital tambahan.

Tuas pemilihan transmisi automatik telah dipindahkan ke papan pemuka, yang membolehkan konsol tengah mempunyai ruang storan dan pengawal pendingin hawa yang besar.

Kabin yang diubahsuai merangkumi sistem aplikasi terbina dalam dengan Apple Music dan Spotify, manakala paparan 10.9-inci bagi penumpang menyediakan data prestasi, kawalan infohibur, dan akses kepada kandungan video yang disiarkan secara langsung.

Ciri keselamatan baharu termasuklah lampu hadapan HD Matrix LED, dan sistem kualiti udara.

Sistem bantuan pintar telah dikemaskini, seperti had laju aktif, bantuan elak, bantuan selekoh, dan Porsche InnoDrive yang dipertingkat dengan kawalan pelayaran adaptif automatik.

Ciri-ciri ini dikatakan mampu meningkatkan keupayaan kenderaan untuk membantu pemandu dalam situasi berbahaya, serta kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan jalan utama.

SUV ini tersedia dalam tiga pilihan tenaga enjin dan dua gaya badan – SUV dan Coupe SUV. Enjin V6 sebelum ini dalam Cayenne S telah digantikan dengan enjin V8 4.0 liter biturbo yang menghasilkan kuasa sebanyak 474 PS dan tork sebanyak 600 Nm, iaitu peningkatan 34 PS dan 50 Nm daripada model terdahulu.

Kedua-dua model SUV dan Coupe SUV mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat sahaja dengan kelajuan tertinggi 273 km/j.

Sementara itu, model Cayenne tahap asas yang lebih rendah menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo yang telah diubahsuai, menghasilkan kuasa sebanyak 353 PS dan tork sebanyak 500 Nm, iaitu 13 PS dan 50 Nm lebih banyak daripada sebelum ini.

Enjin V6 3.0 liter juga digunakan untuk sistem hibrid Cayenne E-Hybrid. Gabungan enjin dan motor elektrik yang telah diperkemas ini meningkat kepada 470 PS.

Dengan kapasiti bateri voltan tinggi sebanyak 25.9 kWh (naik dari 17.9 kWh sebelum ini), SUV hibrid ini mempunyai jangkauan pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 90 km dan boleh dicaj dalam masa kurang daripada 2.5 jam dengan pengecas 11 kW.

Model Turbo GT masih menjadi varian tertinggi dalam rangkaian Porsche Cayenne di kebanyakan pasaran di luar Eropah. Enjin V8 4-liter biturbo telah ditingkatkan untuk menghasilkan 659 PS dan boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat sahaja dengan kelajuan tertinggi 305 km/j.

Di Malaysia, Porsche Cayenne CKD 2023 dijual dengan harga dari RM 575,000. Tenaga diperoleh daripada enjin V6 3.0 liter turbo yang menghasilkan 340 PS dan 450 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan yang menghantar kuasa ke keempat-empat roda.

Baca: Porsche umum SUV mewah elektrik baharu, bakal menjadi model mercu di atas Porsche Cayenne!

Source: Porsche Cayenne facelift 2024 baharu – ini perkara yang dikemaskini sebelum anda beli!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *