Persediaan hadapi GP Malaysia 2023, sebahagian ‘tarmac’ SIC bakal jalani proses baik pulih tahun ini!

Sebagai persediaan menghadapi Grand Prix (GP) Malaysia 2023 pada November depan, sebahagian permukaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menjalani proses baik pulih membabitkan jarak 1 km menerusi peruntukan daripada kerajaan.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif ketika ditemui sempena ujian pra-musim MotoGP 2023 yang berakhir, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif

Sebagai rekod, kali terakhir permukaan atau ‘tarmac’ di SIC ditukar adalah pada tahun 2016 yang membabitkan keseluruhan litar.

Justeru tidak seperti baik pulih sebelum ini yang dikatakan dianggar memakan kos setinggi RM 20 juta, penurapan kali ini hanya membabitkan jarak sepanjang satu kilometer (km) yang membabitkan selekoh 7, 8 dan 9 daripada keseluruhan litar sepanjang 5.54 km itu.

Mengulas lanjut, Shafriman berkata seperti stadium bola sepak, litar lumba juga memerlukan proses penyelengaraan dan naik taraf bagi memastikan ia kekal berada dalam keadaan sepatutnya.

“Kos untuk menurap litar bukan proses yang murah kerana untuk menurap sepanjang 5.54 km memerlukan kira-kira RM 20 juta. Jadi kita perlukan bantuan kerajaan untuk membantu kita memastikan litar ini dalam keadaan baik,” katanya.

Shafriman berkata, kerja baik pulih litar itu sepatutnya dilakukan pada 2021, namun pandemik Covid-19 mengakibatkan perancangan itu ditangguh.

Selain daripada keadaan permukaan litar, pihak Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) selaku badan induk turut memperincikan beberapa pembaikan yang diperlukan terutama dari aspek keselamatan sebelum GP Malaysia 2023 nanti.

Dan jika kelulusan diperoleh, SIC dijangka akan ‘menutup pintunya’ daripada sebarang aktiviti pada Mac nanti sebelum ia dibuka semula pada Mei.

Shafriman menambah, selain dana untuk penyelenggaraan SIC, pihaknya turut mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha untuk memperoleh dana untuk disalurkan kepada bakat-bakat permotoran negara.

Source: Persediaan hadapi GP Malaysia 2023, sebahagian ‘tarmac’ SIC bakal jalani proses baik pulih tahun ini!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *