Muncul di Eicma 2022, Vespa GTV (2023) bakal masuk pasaran Malaysia tahun ini!

Vespa sah akan membawa masuk beberapa penawaran baharu ke pasaran Malaysia, tahun ini antaranya Vespa GTV (2023), model yang dipertontonkan ketika acara berprestij, Eicma 2022 di Itali.

Kepada peminat Vespa, model dengan nama GTV memang tidak asing dan dikenali sebagai model paling ‘Sporty’ jenama Itali itu.

Vespa memperkenalkan model GTV buat pertama kali pada tahun 2006 dan ia pantas menjadi salah satu model ikonik dan ‘diburu’ peminat jenama itu. 

Untuk versi terbaharu Vespa GTV (2023), pembaharuan yang dilakukan oleh syarikat pengeluar skuter mewah Itali itu boleh disifatkan menyeluruh termasuklah di bahagian rekaan, peningkatan teknologi dan mungkin paling mengujakan, prestasi.

Dari sudut rekaan, Vespa GTV (2023) kekal dengan gaya ikonik ‘Sei Gironi’. Tetapi paling menonjol pastinya penggunaan lampu utama yang diposisikan di bahagian ‘mudguard’ yang menjadi ciri unik model GTV.

Juga baca: Edisi Terhad Vespa X Justin Bieber rasmi tiba di Malaysia, harga asas RM 28k!

Selain itu, ia turut menggunakan skema warna yang menarik ‘Beige Avvolgente Opaco’ yang disepadukan dengan corak garisan berwarna jingga di panel sisi dan pelindung angin di bahagian depan.

Bagi menyerlahkan penampilannya, bahagian pelana pula menggunakan warna dua tona.

Mengulas trenkuasa, Vespa GTV (2023) berkongsi trenkuasa dengan Vespa Sei Giorni 300. 

Justeru ia dikuasakan dengan trenkuasa 300 HPE, enjin bersesaran 278 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang menghasilkan kuasa setinggi 23.8 Hp.

Sebagai antara model terbaharu dan termoden, Vespa GTV (2023) turut didatangkan dengan ciri bantuan tunggangan seperti Kawalan Traksi ASR dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Ciri-ciri menarik lain termasuklah sistem lampu LED penuh, Sistem Tanpa Kunci, Panel Meter Digital Penuh dengan rekaan yang ‘serasi’ dengan gaya skuter berkenaan. 

Agak unik, unit kluster instrumen meter skuter ini diposisikan di bahagian bar hendal menerusi braket khas. 

Seperti anda jangka, ia turut dilengkapi dengan teknologi sambungan ke telefon bimbit menerusi Bluetooth via sistem konektiviti Vespa MIA namun ciri ini datang secara pilihan.

Piaggio Malaysia tidak mendedahkan perincian mengenai pelancaran itu terutama mengenai harga tetapi tarikh pelancarannya dijangka pada suku ketiga tahun ini.

Juga baca: Vespa lancar GTV (2023), model paling ‘Sporty’ dari Vespa dipertonton di EICMA 2022!

Source: Muncul di Eicma 2022, Vespa GTV (2023) bakal masuk pasaran Malaysia tahun ini!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *