MotoGP: Kelajuan Yamaha M1 meningkat, tapi Fabio Quartararo masih bimbang!

Jaguh Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo meninggalkan ujian di Sepang, semalam dengan dua nota berbeza, berpuas hati dengan peningkatan yang ditampilkan Yamaha M1 terutama dari sudut kelajuan.

Fabio Quartararo

Tetapi dalam masa sama, juara dunia MotoGP musim 2021 itu mengakui bimbang mengenai prestasi tayar baharu yang digunakan, tayar yang sepatutnya digunakan ketika sesi kelayakan.

Selepas melakukan catatan keempat terbaik pada hari kedua ujian rasmi pada Sabtu, Quartararo dan rakan sepasukannya, Franco Morbidelli bergelut pada hari terakhir selepas masing-masing melakukan catatan ke-19 dan 20 terpantas.

Melakukan catatan terpantas 1 minit 58.943 saat, angka berkenaan cukup jauh berbanding catatan dilakukan pelumba pasukan satelit Ducati, VR46 Racing, Luca Marini yang melakukan 1 minit.57.889 saat.

Morbidelli dalam pada itu melakukan 1 minit.58.986 saat. Sebagai perbandingan, Quartararo melakukan catatan 1 minit 58.897 saat pada sesi Sabtu untuk melakarkan catatan ke-4 terpantas namun sesi turut diganggu cuaca hujan.

“Saya boleh katakan perasaan saya bercampur baur,” kata Quartararo mengulas ujian rasmi MotoGP di Sepang. “Sudah tentu saya agak gembira dengan kelajuan kami, sesuatu yang saya inginkan sejak lama.”

Di Sepang, Quartararo merekodkan kelajuan terpantas 335.4 km/j, hanya ketinggalan 2.1 km/j berbanding jentera terpantas Ducati.

Juga baca: Hari ketiga (terakhir) ujian rasmi MotoGP 2023 Sepang: Ducati kekal unggul, giliran Marini catat masa terpantas!

Selain spesifikasi enjin, Quatararo turut menguji pelbagai komponen naik taraf termasuk lengan ayun dan komponen aerodinamik.

“Kami mencuba pelbagai benda baharu dan sekali lagi, saya gembira kerana ini adalah apa yang saya mahukan, mencuba banyak komponen baharu. Ia hari yang hebat terutama di beberapa kawasan bersama dengan tayar lama dan saya amat gembira. Dengan tayar yang lama, kami melakukan hampir 22 pusingan dengan catatan sekitar bawah 2 minit.”

Dan ketika menggunakan tayar baharu, pelumba kelahiran Perancis itu berkata ia seperti mimpi ngeri.

“Jadi kami perlu mencari sebab mengapa dengan tayar baharu, kami tidak boleh melangkah ke depan. Pada tahun lalu, saya turut bergelut ketika kelayakan tetapi ia bukan alasan mengapa kami satu saat ketinggalan dan ia nampak tak bagus.

“Jadi kami berharap ketika di Portimao, kami dapat mencari jalan penyelesaian. Jika saya tidak melihat kepada skrin dan tidak melihat papan masa, saya rasa seperti melakukan bawah 58 saat tetapi apabila saya melihat skrin, saya melakukan 59 saat. Jadi, ia mengelirukan.”

Quartararo (kiri) dan Morbidelli

Selepas Sepang, ujian rasmi terakhir MotoGP dijadual pada 11 Mac depan di Portugal sebelum perlumbaan pembuka tirai saingan MotoGP dijadual berlangsung pada 26 Mac, juga di Litar Portimao, Portugal.

Sumber imej: FB Monster Energy Yamaha MotoGP, Sepang Circuit

Source: MotoGP: Kelajuan Yamaha M1 meningkat, tapi Fabio Quartararo masih bimbang!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *