Ducati muncul jentera terpantas di Sepang berakhir sesi ujian pra-musim MotoGP 2023 namun ada satu masalah ‘besar’ didedahkan oleh kedua-dua pelumba ‘kilangnya’ Francesco Bagnaia dan Enea Bastianini.
Sekalipun pengeluar Itali itu ‘mengganas’ di Sepang, catatan masa terbaik ketiga-tiga hari bukan dicatatkan oleh pelumba utama, Lenovo Ducati, namun pelumba pasukan satelit dengan Mooney VR46 paling menyerlah.
Juga baca: Hari pertama ujian rasmi MotoGP 2023 Sepang: Ducati kekal paling laju, Aprilia bikin kejutan!
Pada sesi Jumaat, Marco Bezzecchi (VR46) merekodkan masa terpantas diikuti Jorge Martin (Pramac Racing) pada Sabtu sebelum adik kepada legenda MotoGP, Valentino Rossi iaitu Luca Marini melakukan catatan terpantas pada hari terakhir, Ahad lalu.
Dan untuk mengulas mengenai apa yang berlaku kepada pasukan ‘kilang’ yang dilihat kurang ‘menyengat’, pengurus pasukan Davide Tardozzi menyatakan ada kebimbangan diluahkan kedua-dua pelumbanya dan ia adalah masalah yang sama.
“Kami melakukan pelan latihan seperti yang kami sudah jadualkan. Ada perkara yang bagus, ada perkara yang tidak,” kata Tardozzi.
“Secara keseluruhan, kami agak gembira dengan prestasi kesemua pelumba Ducati. Jentera baharu hanya akan kami tentukan mengenai jentera baharu di Portimao. Jadi, kami perlu menunggu.
“Kami menyiapkan jentera 2023 untuk satu setengah hari. Kami kemudian kembali ke jentera 2022 hanya untuk melihat perbezaan.
“Marini dan Bezzecchi serta pelumba Gresini menunjukkan ia masih jentera yang bagus. Pecco memberitahu kami mengenai perkara yang bagus mengenai jentera 2023 tetapi ada satu kelemahan utama berbanding jentera 2022 yang perlu kami selesaikan.
“Enea juga menyuarakan perkara yang sama. Ia adalah sesuatu yang membuatkan dia tidak selesa dengan gaya tunggangannya.
“Situasi ini memberikan kami masa yang sedikit di Portimao untuk memperbaikinya. Kami perlu memenuhi permintaan juara dunia.”
Ketika ditemui, Bagnaia dan Bastianini masing-masing mengakui jentera baharu Ducati lebih laju berbanding jentera musim 2022 tapi sukar untuk mengawal kuasanya terutama selepas melepasi selekoh.
Source: MotoGP: Ducati paling laju di Sepang, tapi pelumba ‘kilang’ jumpa masalah besar!