Moto3: Isu tak cukup dana, ada khabar lega buat Damok, ini jaminan SIC!

Sedikit heboh apabila media melaporkan pelumba tunggal negara di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 musim ini, Syarifuddin Azman berisiko untuk hanya beraksi ‘sekerat jalan’ di perlumbaan itu.

Ini berikutan masalah kekurangan dana yang agak kritikal dihadapi pelumba program pembangunan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di bawah pengurusan ZK Racing itu ketika ini.

Sekalipun tempatnya bersama pasukan, MTHelmets_MSi sudah disahkan, pelumba yang dikenali sebagai Damok itu dikatakan hanya mempunyai dana terhad untuknya mengharungi keseluruhan perlumbaan musim ini.

Ketika ditanya mengenai isu berkenaan, bos SIC yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif mengakui masalah yang sedang dihadapi pelumba berbakat negara berusia 21 tahun itu.

“Kami memang masih mengharapkan bantuan dana untuk Damok,” kata Shafriman. “Untuk peruntukan daripada kerajaan, kita masih perlu menunggu pengumuman bajet pada Jumaat ini. Jadi kita harap dapat sokongan untuk bajet ini.”

Dan sekalipun masih belum ada kata putus, Shafriman berkata SIC dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan membenarkan perjalanan karier Damok terhenti di tengah jalan.

Sebagai info dan menurut laporan media terdahulu, Damok memerlukan sekurang-kurangnya RM 3.5 juta yang digunakan sebagai perbelanjaannya di kejuaraan itu.

Ia termasuk yuran perlumbaan, kos perjalanan, penginapan, latihan dan sebagainya. Dan jika tidak memperoleh peruntukan sewajarnya, dana sedia ada hanya mampu bertahan sehingga pusingan kelima.

Mengulas lanjut, Shafriman berkata adalah penting untuk SIC meneruskan usaha mengasah bakat-bakat muda negara ke peringkat antarabangsa.

“Jika kita meligat prestasi mereka (pelumba program pembangunan bakat SIC) pada tahun lepas, kesemua mereka termasuk Damok memang amat berkat dan amat sayang jika mereka tak terus berlumba.”

Selain daripada pihak kerajaan, Shafriman berkata pihaknya turut berusaha untuk mencari penajaan dari sektor korporat.

Sebagai pelumba yang baru hendak bertapak di pentas elit, penampilan sulung Damok pada musim pertamanya amat kritikal kerana perbelanjaannya akan berkurangan musim depan jika dia berjaya mempamerkan prestasi yang baik.

Sumber imej: FB ZK Racing

Source: Moto3: Isu tak cukup dana, ada khabar lega buat Damok, ini jaminan SIC!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *