Modenas Ninja ZX-25R bakal buat ‘debut’ pertengahan tahun ini, harga menghampiri RM 35k?

Sejak dipertontonkan dan kehadirannya disahkan oleh Modenas tahun lalu, ramai yang tak sabar menanti kehadiran ‘Sportbike’ 250 cc 4 Silinder unggul Kawasaki, Ninja ZX-25R memasuki pasaran tempatan pada tahun ini.

Tiada kenyataan rasmi daripada pihak Modenas sendiri, begitupun menurut sumber, Kawasaki Ninja ZX-25R yang bakal menggunakan lencana berbeza bakal dilancarkan pada pertengahan tahun ini iaitu sekitar Jun dan Julai.

Di bawah kerjasama Modenas/Kawasaki, model berkenaan berkemungkinan besar tidak akan menggunakan logo Kawasaki namun Modenas, sama seperti model Ninja 250/250 ABS dan Z250 ABS.

Sedia maklum, Modenas ketika ini adalah rakan kongsi strategik kepada Kawasaki dengan kilang pemasangan Modenas di Gurun ketika ini turut memasang motosikal jenama Jepun itu untuk pasaran tempatan. 

Dan mengenai harga yang ditawarkan nanti, model berkenaan dijangka diberikan tanda harga yang agak premium iaitu sekitar RM 35,000.

Seperti di Indonesia, turut berkemungkinan adalah ia dijangka dijual dalam beberapa varian, sama seperti Modenas Ninja 250 dan Ninja 250 ABS yang kembali memasuki pasaran pada tahun lalu.

Jika benar, harga berkenaan nampaknya tidak jauh berbeza dengan harga jentera berkenaan di pasaran negara jiran termasuk Indonesia, Thailand dan Filipina.

Mengenai Ninja ZX-25R, ia adalah motosikal suku liter paling berkuasa di dunia ketika ini.

Mengulas spesifikasinya, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 249.8 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan Assist & Slipper.

Dengan bantuan teknologi Ram Air, ia menghasilkan kuasa setinggi 51 PS pada 15,500 rpm (46 PS tanpa Ram Air) dengan tork 22.9 Nm pada 14,500 rpm.

Sebagai motosikal moden dan dipacu teknologi ‘Ride by wire’, Ninja ZX-25R turut memiliki pilihan mod tunggangan, sistem Kawalan Tranksi, KQS (Kawasaki Quick Shifter) dan Electronic Throttle Valves.

Sistem suspensi yang dipadankan juga premium iaitu fork depan jenis terbalik (USD) 37 mm SFF-BP dan suspensi belakang tunggal Horizontal Back-Link dengan pelarasan prabeban.

Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal bersaiz 310 mm dengan ‘radial-mount monobloc caliper’ (Depan) dan cakera tunggal bersaiz 220 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Selain itu, antara pembaharuan untuk versi terbaharu model ini adalah penggunaan panel instrumen digital TFT baharu yang lengkap dengan ciri ‘Circuit Mode’ dan memiliki sambungan ke telefon pintar dan aplikasi RIDEOLOGI.

Informasi penting bagi Ninja ZX-25R adalah ia dilengkapi tangki bahan api 15 liter, set roda 110/70-R17 (depan) dan 150/60-R17 (belakang), ketinggian pelana 785 mm, sistem lampu LED penuh.

Seperti pembaca semua, kami juga masih menunggu pihak Kawasaki Malaysia membuka mulut namun dengan informasi terbaharu ini, kepada yang berminat, anda boleh mula membuat ‘kira-kira’ yang sepatutnya.

Source: Modenas Ninja ZX-25R bakal buat ‘debut’ pertengahan tahun ini, harga menghampiri RM 35k?

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *