Konkrit retak akibat projek pembinaan, LRT Ampang/Sri Petaling mungkin dibuka 7 bulan lagi

Siasatan ke atas kerosakan struktur antara stesen LRT Masjid Jamek dan LRT Bandaraya telah selesai dijalankan dan akan mengambil masa sehingga tujuh bulan untuk untuk dibaikpulih demi menjaga keselamatan orang ramai.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, hasil siasatan menunjukkan bahawa kerosakan kepada tiga struktur ‘viaduct’ dan ‘pier’ telah diakibatkan oleh pergerakan tanah yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja di tapak pembinaan bersebelahan stesen LRT Bandaraya.

Terdahulu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan tersebut dijalankan tanpa sebarang perundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998.

“Pihak Prasarana kini dalam proses melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja baikpulih yang akan dimulakan pada awal bulan Mac dan dijangka akan mengambil masa sehingga tujuh bulan,” jelas Anthony.

Pengangkutan alternatif termasuk perkhidmatan bas perantara yang telah diperkenalkan sejak 27 Januari lalu akan diteruskan bagi memudahkan pengguna yang terjejas.

Other Post You May Be Interested In

“Walau bagaimanapun, kita menegaskan bahawa apa yang berlaku terhadap kerosakan struktur itu adalah di luar kawalan pihak Prasarana. Selepas semua siasatan terperinci dilaksanakan, kita akan melihat kemungkinan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya lagi.

“Ini sesuatu yang kita perlu lebih tegas pada masa akan datang. Kita berharap semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab meluluskan apa-apa projek pembangunan juga perlu merujuk kepada APAD sekiranya kawasan pembinaan tersebut berdekatan dengan mana-mana infrastruktur atau di Zon Perlindungan Kereta Api,” tegasnya.

Menurut Pengarah Urusan Arup Jururunding Sdn Bhd, Dato’ Ir. Wan Anuar Wan Endut, konkrit pada tapak ‘bearing’ didapati pecah dan menyebabkan dek bergerak sehingga 40 mm. Tekanan ini dipercayai datang dari sebelah kiri (tapak pembinaan) dan menyebabkan dinding konkrit berkenaan retak.

“Buat masa ini, kita dengan Prasarana menjalankan (pembaikan) pada Pier 163 kerana struktur itu dalam bahaya. Kita akan menstabilkan struktur ini dan ia akan mengambil masa 2-7 bulan sebelum perkhidmatan tren dapat dibuka,” jelasnya.

Difahamkan, pihak Prasarana telah melaksanakan audit ke atas semua struktur dalam rangkaian rel dan ia telahpun dipastikan selamat untuk digunakan.

Source: Konkrit retak akibat projek pembinaan, LRT Ampang/Sri Petaling mungkin dibuka 7 bulan lagi

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *