Klon Yamaha XMax muncul di China, guna nama Linhai L-Max, harga RM 9.6k!

Tak dapat dinafikan China ketika ini boleh dianggap antara hab automotif dunia tetapi hakikat pahit yang perlu ditelan adalah mereka juga masih menjadi pusat kepada kelahiran model-model klon, dan antara ‘mangsa’ terbaharu adalah skuter Yamaha XMax. 

Menjadi antara model hangat di pasaran Eropah, Yamaha XMax boleh dikatakan ‘raja’ popular dalam segmen skuter 250 cc di Malaysia. 

Dan ketika generasi terbaharu Yamaha XMax mula menerjah pasaran global (tak termasuk Malaysia), model terdahulu (yang masih dijual dan hangat di pasaran tempatan) diklon di China dan dikenali sebagai Linhai L-Max.

Jika melihat dari sudut rekaan dan penampilan luaran, pasti ramai yang akan terpedaya kerana ia memang amat serupa dengan model asli, termasuk setiap panel, lampu depan dan belakang, suspensi, pelana dan sebagainya.

Tetapi jika diperincikan, perbezaan itu dapat dilihat terutama dimensi yang lebih kecil susulan penggunaan enjin bersesaran lebih rendah.

Mengulas ringkas trenkuasanya, Linhai L-Max dijana enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, 2 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi automatik. 

Yamaha XMax 250

Kuasa yang dihasilkan adalah 14.3 PS pada 8,000 rpm dan tork 13.2 Nm pada 6,000 rpm.

Seperti model yang diklon, Linhai L-Max turut datang dengan beberapa ciri menarik seperti panel meter TFT berwarna 7 inci, sistem tanpa kunci, brek cakera depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, Kawalan Traksi, sistem lampu LED dan pengecas USB.

Tidak seperti Yamaha XMax (penyerap hentak kembar), sistem suspensi belakang Linhai L-Max menggunakan penyerap hentak tunggal bersama set roda berbeza.

  • Set roda Yamaha XMax: 120/70-R13 (depan), 130/70-R13 (belakang)
  • Set roda Linhai L-Max: 120/70-15 (depan), 140/70-14 (belakang)

Informasi lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 14 liter dan sejumlah lima pilihan warna tersedia bersama harga yang ditetapkan juga ‘jauh’ berbeza berbanding Yamaha XMax iaitu 14,880 yuan (RM 9,626).

Dan kepada yang berminat, agak malang untuk anda kerana Linhai L-Max dikatakan tidak akan menembusi pasaran luar dan hanya dijual di pasaran domestik China.

Juga baca: Minat Ducati Panigale atau Streetfighter tapi bajet ciput? Ini klon dari China

Source: Klon Yamaha XMax muncul di China, guna nama Linhai L-Max, harga RM 9.6k!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *