Selepas menjunam hampir 60 peratus pada bidaan terdahulu, premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi motosikal di Singapura kembali melonjak dan ditutup pada angka S$ 10,602 (RM 35,742).
Lonjakan itu lebih sekali ganda berbanding S$ 5,002 (RM 16,863) dalam bidaan sebelum ini yang menyaksikan permintaan terhadap motosikal di negara itu meningkat mendadak.
Memetik laporan mediacorp.sg, turut mencatatkan kenaikan dalam bidaan terbaru pada Rabu (17 Mei) adalah COE bagi kategori terbuka, yang boleh digunakan untuk sebarang jenis kenderaan tetapi kebiasaannya digunakan bagi kereta besar/mewah.
Dan nilainya turut meningkat ke paras rekod S$ 125,000 (RM 421,417) berbanding S$ 124,002 (RM 418,030). Ia juga sekali gus melepasi rekod yang dicatat sebelum ini iaitu S$ 124,501 (RM 419,712).
Turut mengalami peningkatan adalah COE bagi kenderaan komersil, termasuk kenderaan muatan dan bas yang meningkat kepada S$ 77,501 (RM 261,268) daripada S$ 75,589 (RM 254,822) dalam bidaan sebelumnya.
Tetapi bagi kategori kereta A dan B, harga yang ditawarkan mengalami kejatuhan dalam bidaan pertama di bawah kuota yang ditambah. Premium bagi kereta lebih kecil dalam Kategori A ditutup pada S$ 92,000 (RM 310,140) iaitu penyusutan daripada S$ 101,001 (RM 340,483) yang dicatatkan dalam bidaan lalu.
Premium bagi kereta lebih besar dan berkuasa lebih tinggi dalam Kategori B pula turun kepada S$ 113,034 (RM 381,047) berbanding S$ 119,399 (RM 402,504).
Secara keseluruhannya, sejumlah 3,536 bidaan diterima dengan kuota sebanyak 1,844 diperuntukkan.
Source: Kembali ‘normal’, premium COE motosikal di Singapura lonjak sekali ganda, kini RM 35.7k!