Kawasaki Z900 SE (2023) dipertonton di Malaysia Autoshow 2023, ‘masuk kedai’ bulan depan!

Selain dua model baharu Kawasaki KX250/X dan Z H2 SE, Kawasaki Malaysia sempena acara Malaysia Autoshow 2023 yang sedang berlangsung turut membuka ‘kanvas’ bagi penawaran aras tinggi baharunya di pasaran tempatan iaitu Kawasaki Z900 SE (2023).

Dipertontonkan dengan pilihan skema warna Candy Lime Green, Kawasaki Z900 SE (2023) seperti namanya adalah versi yang dipertingkat bagi Kawasaki Z900 ABS yang pernah popular di pasaran tempatan sebelum ini.

Sebagai versi SE (Special Edition) atau dipertingkatkan, Kawasaki Z900 SE (2023) datang dengan beberapa kemas kini menarik membabitkan kelengkapan premium terutama di bahagian suspensi dan brek.

Menggunakan fork jenis terbalik USD dengan jarak travel 41 mm (boleh laras), fork berkenaan ‘dicantikkan’ menggunakan warna emas manakala sistem suspensi belakang menggunakan penyerap hentak tunggal jenama Ohlins S46.

Di bahagian brek, kaliper yang digunakan adalah daripada jenama Brembo M4.32 bersama cakera berkembar bersaiz 300 mm hos steel braided. Sistem brek belakang menggunakan cakera 250 mm dengan kaliper satu piston.

Mengulas trenkuasa, Kawasaki Z900 SE (2023) dipadankan dengan enjin bersesaran 948 cc, 4 Silinder, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan bersama transisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 123.6 pada 9,500 rpm dan tork 98 Nm  pada 7,700 rpm.

Seperti motosikal moden lain, Kawasaki Z900 SE (2023) menggunakan panel meter digital penuh TFT 4.3 inci berwarna yang boleh disambung kepada telefon pintar menerusi aplikasi Rideology.

Di bahagian elektronik, Kawasaki Z900 SE (2023) memiliki empat mod tunggangan (Sport, Road, Rain dan Rider) dan tiga tahap kawalan cengkaman KTRC dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Informasi lain adalah seperti penggunaan sistem lampu LED (depan, belakang dan DRL), berat 213 kg, tangki bahan api 17 liter dan ketinggian pelana 820 mm.

Selain Kawasaki Z900 SE (2023), Kawasaki Malaysia dikatakan akan turut menawarkan versi standard Kawasaki Z900 (2023).

Setakat ini, Kawasaki Malaysia belum mendedahkan harga rasmi untuk kedua-dua versi namun menurut risikan, penawaran harga untuk versi SE dijangka bawah RM 60k manakala standard bawah RM 50k. Dan Kawasaki Malaysia berkata ia akan mula berada di pasaran bermula pada bulan depan.

Juga baca: Kawasaki perkenal Z900RS SE 2022 di pasaran Eropah, apa yang istimewa?

Source: Kawasaki Z900 SE (2023) dipertonton di Malaysia Autoshow 2023, ‘masuk kedai’ bulan depan!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *