Kalendar perlumbaan MCS 2023 diumum, 4 pusingan, buka tirai hujung minggu ini!

Perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) semestinya bukan asing bagi peminat sukan permotoran jentera empat roda tempatan dan bagi musim 2023, perlumbaan pembuka tirai kejuaraan itu dijadual bermula pada hujung minggu ini.

Menurut penganjurnya, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebanyak empat pusingan kejuaraan dijadualkan pada musim ini yang membabitkan keseluruhan tujuh perlumbaan. 

Perincian mengenai jadual perlumbaan adalah seperti berikut:

  • Pusingan 1 (5–7 Mei 2023)
  • Pusingan 2 (23–25 Jun)
  • Pusingan 3 (25–27 Ogos 2023)
  • Pusingan 4 (Finale) (22–24 September 2023)

Untuk musim 2023, MCS akan menampilkan empat kategori perlumbaan iaitu Touring Production (TP), Malaysia Touring Car (MTC), Stock Production 1 (SP1) dan Stock Production 2 (SP2).

Lebih menarik dan eksklusif bagi pusingan pertama, ia akan turut menampilkan perlumbaan TGR Vios Sprint Cup, Caterham/Asia Classic Car Challenge dan Lamborghini Super Trofeo Asia sebagai perlumbaan sokongan.

Sedikit info mengenai MCS, ia adalah salah satu Kejuaraan Kebangsaan paling lama dianjurkan di SIC dan sudah dianjurkan sejak tahun 2022 sebagai Malaysia Super Series (MSS). Ia kemudian dijenamakan semula sebagai Malaysia Championship Series (MCS) pada tahun 2015.

Dengan objektif utama untuk mengumpulkan peminat sukan permotoran 4 roda negara dalam ‘satu bumbung’, perlumbaan MCS juga juga dilihat sebagai medan mencari bakat muda tempatan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Mengenai penganjurannya tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mengucapkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) serta Yokohama Tyre Sales Malaysia (YTSM) sebagai pengedar tayar rasmi MCS 2023 atas sokongan yang diberikan.

Kepada yang berminat untuk menyaksikan perlumbaan MCS secara ‘depan mata’, tiada bayaran tiket dikenakan untuk penonton di ‘Main Grandstand’. Tetapi tiket untuk berada di ‘paddock’ dijual pada harga RM 80.

Selain itu, perlumbaan turut boleh disaksikan secara langsung menerusi penstriman langsung di laman Facebook rasmi SIC.
 

Source: Kalendar perlumbaan MCS 2023 diumum, 4 pusingan, buka tirai hujung minggu ini!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *