Iras HR-V, Honda e:Ny1 ini EV ke-2 untuk Eropah selepas Honda e; 203 PS/310 Nm, jarak pandu 412 km

Honda baru-baru ini telah mendedahkan Honda e:Ny1 di Offebach, Jerman iaitu secara amnya sebuah HR-V versi elektrik (EV). Selepas Honda e, inilah model EV kedua dari Honda.

Kalau anda perhati secara kasar, Honda e:Ny1 memang ada iras HR-V tetapi antara perbezaan ketara adalah penerapan rim unik dan logo Honda pada bahagian belakang yang diganti dengan tulisan ‘H o n d a’.

Juga bacaRebiu: Honda HR-V 1.5V – ikon SUV ‘gaya’ dah kembali, kereta RM 130k+ terbaik di Malaysia?

Secara teknikal, SUV elektrik ini menggunakan asas e:N Architecture F iaitu platform pacuan roda depan yang menggunakan struktur besi kukuh sebanyak 47%, titik graviti yang rendah dan aerodinamik lantai yang lebih licin untuk meningkatkan tahap efisyen.

Dalam konteks arkitektur juga, ia menerapkan trenkuasa elektrik yang ringan, dengan janaan output sebanyak 203 PS dan 310 Nm tork. Baterinya menggunakan jenis ion-litium berkapasiti 68.8 kWj dan Honda e:Ny1 mempunyai jarak pandu 412 km (kitaran WLTP). Kalau anda nak tahu, kapasiti pengecasan pantas DC untuk crossover ini belum diumumkan tetapi ia boleh mengecas dari 10% – 80% dalam masa 45 minit sahaja.

Masuk ke bahagian dalam, papan pemukanya sedikit berbeza dengan HR-V di mana terdapat skrin infotainment menegak bersaiz 15.1 inci dan kluster digitalnya sendiri adalah jenis terapung. Konsol tengahnya juga tampil unik dengan tombol gear jenis butang dan reka bentuk yang lebih ringkas.

Setakat ini, belum ada garis masa pelancaran mahupun harga tetapi maklumat lanjut akan menyusul dalam masa akan datang. Bagi anda yang belum tahu, model sama turut dijual di China dan ia memakai nama e:NS1.

Juga bacaHonda HR-V EV yang menggunakan nama e:NS1 kini dijual di China, dari RM 116k

Source: Iras HR-V, Honda e:Ny1 ini EV ke-2 untuk Eropah selepas Honda e; 203 PS/310 Nm, jarak pandu 412 km

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *