Harley-Davidson X440 (2023) dipertontonkan, buatan India kerjasama Hero MotoCorp!

Kurang dua bulan selepas imej intipnya terdedah dan mencetus keterujaan ramai, Harley-Davidson secara rasmi mendedahkan model kerjasama terbaharunya, Harley-Davidson X 440 (2023) di India.

Dan mengapa Harley-Davidson X 440 (2023) membuat debut di India? Ya, ia adalah model yang dihasilkan dengan kerjasama syarikat pengeluar motosikal gergasi India, Hero MotoCorp. 

Beberapa bulan lalu, syarikat pengeluar motosikal ikonik Amerika Syarikat itu turut memperkenalkan model yang dihasilkan dengan kerjasama pengeluar China, QJ Motor dikenali Harley-Davidson X350 dan X500.

Jika dibandingkan, tiada banyak perubahan yang dilihat daripada model ‘siap’ Harley-Davidson X440 (2023) berbanding imej intipnya sebelum ini.

Dan mengulas rekaannya, ia sememangnya mengambil inspirasi daripada beberapa model sedia ada Harley-Davidson terutamanya dari siri XR dengan penggunaan tangki bahan api bersegi, bar hendal rata, pelana ‘single-piece’ landai dan panel badan yang maskulin.

Selain menampilkan logo dan tulisan Harley-Davidson di bahagian sisi tangki bahan api, turut disertakan dengan tulisan sama adalah di bahagian lampu depan. Lebih unik, bahagian tengah lampu signal turut disertakan dengan logo Harley-Davidson.

Di bahagian trenkuasa, Harley-Davidson X 440 (2023) dipadankan dengan enjin bersesaran 440 cc, 1 Silinder, Penyejuk Minyak. Tiada spesifikasi rasmi didedahkan tetapi menurut laporan media India, ia dikatakan memiliki kuasa setinggi 30 Hp dan tork sekitar 40 Nm.

Selain itu, ciri-ciri menarik yang dipadankan termasuklah penggunaan fork jenis terbalik (USD) depan dan penyerap hentak berkembar (belakang), sistem brek cakera tunggal depan dan belakang bersama Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Informasi lain adalah seperti penggunaan rim bersaiz 18 inci (depan) dan 17 inci (belakang) yang dipadankan dengan tayar yang bersaiz lebar.

Menurut laporan media automotif di India, Harley-Davidson X440 (2023) akan dilancarkan secara rasmi pada awal Julai depan dan dijangka datang dengan beberapa varian.

Dan harganya pula dijangka tidak jauh berbeza dengan salah satu model terhangat di negara itu dalam segmennya, Royal Enfield Classic 350 iaitu diantara Rs 1.9 lakh (RM 10,593) ke 2.2 lakh (RM 12,265).
 

Source: Harley-Davidson X440 (2023) dipertontonkan, buatan India kerjasama Hero MotoCorp!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *