Hari ketiga (terakhir) ujian rasmi MotoGP 2023 Sepang: Ducati kekal unggul, giliran Marini catat masa terpantas!

Ducati membuktikan mereka memiliki jentera paling laju di atas litar bagi ujian pra-musim rasmi pertama MotoGP 2023 selepas pelumbanya, Luca Marini merekodkan masa terpantas pada hari ketiga dan terakhir di Sepang, hari ini.

Luca Marini

Seperti hari pertama dan kedua, Marini yang juga adik kepada legenda MotoGP, Valentino Rossi dari pasukan Mooney VR46 Racing begitupun bukanlah pelumba pasukan ‘kilang’ Ducati.

Turut ‘direncatkan’ dengan keadaan hujan di penghujung sesi, Marini mencatatkan masa terpantas 1 minit 57.889 saat, catatan yang dilakukannya pada pusingan ke-47 daripada 54 pusingan keseluruhan yang dibuat.

Luca Marini

Begitupun, turut melakukan catatan di bawah ’58’ saat adalah penyandang juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia yang melakukan 1 minit 57.969 saat.

Francesco Bagnaia

Seperti dua hari lalu, pelumba pasukan Aprilia turut merekodkan catatan masa yang memberangsangkan dengan pelumba pasukan utamanya, Maverick Vinales dengan melakukan masa ketiga terpantas, 1 minit 58.036 saat.

Maverick Vinales

Membuktikan dirinya semakin selesa dengan jentera ‘kilang’ Ducati adalah pelumba baharunya, Enea Bastianini yang melakukan catatan ke-4 terpantas (1 minit 58.149 saat) diikuti pemegang rekod terpantas Sepang, Jorge Martin (Prima Pramac Racing) yang melakukan 1 minit 58.204 saat.

Enea Bastianini

Dan sudah dijangka, catatan terpantas pada hari terakhir adalah terpantas daripada ketiga-tiga hari ujian.

Marc Marquez

Tetapi apa yang lebih menarik, satu-satunya pelumba yang bukan dari Ducati atau Aprilia berada di kelompok 10 terpantas hanyalah satu iaitu Marc Marquez (Repsol Honda) dengan catatan yang dilakukan, 1 minit 58.666 saat meletakkannya di carta 10 terpantas.

Jack Miller

Pelumba terbaik GasGas adalah Pol Espargaro yang melakukan catatan ke-13 terpantas, KTM menerusi Daryn Binder ke-14 terpantas dengan pelumba terbaik Yamaha, Fabio Quartararo melakukan catatan ke-19 terpantas, 1 minit 58.943 saat.

Fabio Quartararo

Informasi lanjut mengenai catatan masa terbaik yang dilakukan kesemua pelumba adalah seperti imej di bawah.

Selepas Sepang, sesi ujian rasmi terakhir MotoGP dijadual pada 11 Mac depan di Portugal sebelum perlumbaan pembuka tirai saingan MotoGP dijadual berlangsung pada 26 Mac, juga di Litar Portimao, Portugal.

Info menarik

Catatan terpantas hari kedua ujian 2023 Sepang:

  • Jorge Martin (Ducati) Pramac Racing, 1m 58.736s

Catatan terpantas hari pertama ujian 2023 Sepang:

  • Marco Bezzecchi (Ducati) VR46, 1m 58.470s

Catatan terpantas ujian ‘Shakedown’ 2023 Sepang:

  • Michele Pirro (Ducati), Pelumba ujian, 1m 59.803s

Rekod Rasmi MotoGP Sepang:

  • Sepusingan terpantas – Jorge Martin (Ducati) 1m 57.790s (2022)
  • Sepusingan terpantas (pelumbaan) – Jorge Martin (Ducati) 1m 59.634s (2022)

Sumber imej: FB Mooney VR46 Racing Team

Source: Hari ketiga (terakhir) ujian rasmi MotoGP 2023 Sepang: Ducati kekal unggul, giliran Marini catat masa terpantas!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *