Edisi ke-3 perlumbaan peringkat akar umbi, FIM MiniGP Malaysia Series dan SIC Ohvale Junior Championship dijadual berlangsung sebanyak 5 pusingan musim ini (2023) dan membuka tirainya di Litar UniMAP, Perlis pada hujung minggu ini.
Selepas Litar UniMAP (20-21 Mei 2023), pusingan kedua dijadual berlangsung di Litar Morac Adventure Park Langkawi, Kedah (17-18 Jun 2023).
Ia kemudian diikuti Litar Lumba Tangkak, Johor (5-6 Ogos 2023) manakala pusingan 4 dan 5 dijadual berlangsung di lokasi sama, Litar Antarabangsa Kart Sepang (SIKC) namun pada tarikh berbeza iaitu 2-3 September 2023 dan 14-15 Oktober 2023.
Untuk kategori utama FIM MiniGP Malaysia Series yang menggunakan jentera Ohvale 160 cc, perlumbaan menampilkan 18 pelumba berusia 12 hingga 14 tahun. Lebih menarik pada tahun ini, 4 pelumba luar negara turut bersaing iaitu dari Singapura, Vietnam dan China.
Untuk kategori SIC Ohvale Junior Championship yang menggunakan jentera Ohvale 110 cc, ia akan menampilkan sejumlah 15 pelumba termasuk dari Australia, Hong Kong, Vietnam dan China dengan had umur 8 hingga 12 tahun.
Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin selaku pengelola perlumbaan berkata pihaknya mengalu-alukan penambahan dalam penyertaan pelumba antarabangsa pada edisi kali ini.
“Ia adalah perkembangan yang sihat yang mampu meningkatkan saingan di litar dan keseronokan kepada para penonton. Saya yakin untuk kategori FIM MiniGP Malaysia Series akan ada banyak pelumba memberikan saingan kepada Qabil Irfan dimana mereka adalah pelumba-pelumba SIC Ohvale Junior Championship musim lepas,” katanya.
“Saya juga sangat gembira dapat meneruskan kejuaraan ini kerana ia dapat memberi satu platform yang berterusan kepada pelumba-pelumba muda di Malaysia untuk mengasah bakat mereka. Terima kasih kepada semua penaja, SIC, Ohvale, KBS dan semua rakan kongi yang berterusan menyokong program ini sejak hari pertama ia dianjurkan.”
Bagi memeriahkan lagi kejuaraan, FIM MiniGP Malaysia juga akan berganding bahu bersama Malaysian Supermoto Championship anjuran MSF bagi pusingan pertama di Perlis.
Source: FIM MiniGP Malaysia Series 2023 buka tirai di UniMAP, pelumba luar negara pun ada!