Edisi ke-3 MSF 2023 dirasmikan, 5 siri perlumbaan utama, 2 kini bertaraf Kejuaraan, buka tirai hujung minggu ini!

Edisi ke-3 penganjuran Malaysia Speed Festival (MSF), tahun ini dijanjikan tampil lebih meriah dan berprestij, saingan yang membabitkan lima siri perlumbaan utama termasuk dua bertaraf Kejuaraan Malaysia untuk jentera dua dan empat roda.

Pengarah MSF, Adian Yein

Dua perlumbaan yang kini bertaraf Kejuaraan Malaysia adalah Kejuaraan Saga Cup Malaysia MSF 2023 dan Kejuaraan SuperMoto Malaysia MSF 2023. Tiga lagi perlumbaan adalah MSF Touge 2023, MSF Superbike 2023 dan MSF Super Turismo 2023.

Dilancarkan penuh unik di Litar Antarabangsa Go Kart Sepang, hari ini, Pengarah MSF, Adian Yein Khalid berkata pihaknya komited untuk menjadikan kejohanan MSF ke satu tahap lebih tinggi pada musim ini susulan pencapaian yang diperoleh tahun lalu.

“Tahun 2022 adalah tahun yang menakjubkan bagi MSF. Tahun lalu, kami berjaya mengembangkan perlumbaan daripada hanya di Litar Antarabangsa Sepang ke seluruh negara selain perlumbaan dalam pelbagai segmen berbeza,” kata Adian.

“Susulan itu, kami menyasarkan sesuatu lebih besar tahun ini. Untuk itu, kami menaiktaraf beberapa siri perlumbaan kami selaras dengan aspirasi kami yang mementingkan keseronokkan, sukan bermotor yang menarik dan mampu milik kepada rakyat Malaysia.”

Selari dengan ‘tagline’ merakyatkan sukan bermotor, Adian berkata pihaknya turut komited untuk menjadikan MSF siri perlumbaan yang mampu disertai semua lapisan masyarakat terutama pencinta sukan permotoran.

Sebagai info, kempen MSF 2023 dijadual membuka tirainya pada hujung minggu ini (2 Mac 2023) menerusi 3 siri perlumbaan utama iaitu perlumbaan Pusingan 1 MSF SuperTurismo, MSF Superbikes dan Kejuaraan Malaysia Saga Cup MSF 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Untuk MSF SuperTurismo dan Kejuaraan Malaysia Saga Cup MSF 2023, ia dijadual berlangsung sebanyak 5 pusingan dengan kesemuanya berlangsung di SIC. 

Bagi perlumbaan siri MSF Superbikes 2023, ia dijadual berlangsung sebanyak empat pusingan juga di SIC.  

Untuk Kejuaraan Malaysia SuperMoto MSF 2023 pula, perlumbaan yang turut membariskan pelumba bintang negara antaranya Danial Haiqal dan Azlan Shah Kamaruzaman itu dijadual berlangsung sebanyak lima pusingan.

Ia akan membuka tirainya pada 12 Mac ini di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor.

Perlumbaan MSF Touge 2023 pula dijadual berlangsung sebanyak dua pusingan yang bermula pada 25 Jun ini dan Oktober depan di Bukit Putus, Negeri Sembilan.

Selain lima siri perlumbaan utama, MSF turut menganjurkan beberapa lagi perlumbaan termasuklah MSF Merdeka 88 Endurance di SIC.

Kepada yang berminat untuk menyertai MSF atau mahukan maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi MSF di www.msfracing.com atau laman sosial rasmi MSF bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Source: Edisi ke-3 MSF 2023 dirasmikan, 5 siri perlumbaan utama, 2 kini bertaraf Kejuaraan, buka tirai hujung minggu ini!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *