Dikuasai minyak neutral karbon, kereta lumba Toyota Yaris ini penyelamat masa depan enjin ICE

Thailand Super Series (TSS) baru-baru ini memulakan musim 2023 dengan merasmikan perlumbaan di Chang International Circuit. Toyota Gazoo Racing (TGR) Team Thailand pula bertanding dalam 5 kelas dan kategori paling menarik adalah Super Compact.

Secara amnya, TGR Thailand menggunakan Toyota Yaris #19 yang berkuasa bahan api neutral karbon. Turut dikenali sebagai e-fuel atau bahan api sintetik, minyak itu diperbuat sendiri (man-made) menggunakan gabungan ekstrak hidrogen dari sisa air/bio dengan tangkapan CO2. Kombinasi tersebut menghasilkan cecair bahan api bertenaga tinggi.

Bahan api neutral karbon ini kiranya dianggap sebagai penyelamat kepada enjin pembakaran dalaman (ICE) di mana kadar pelepasan bebas karbonnya lebih bersih sementara industri mencari bahan api alternatif sama ada melalui elektrifikasi atau sumber boleh diperbaharui yang lain. Namun begitu, buat masa sekarang, menghasil dan komersialkan bahan api neutral karbon adalah mahal.

Disebabkan inilah pengeluar cuba membuat eksperimen melalui sukan permotoran dan inilah apa yang Toyota mula ketengahkan. Tahun lepas, mereka sudahpun menggunakan bahan api ini dalam 2022 Idemitsu 25 Hours Super Endurance Race iaitu di litar sama.

Untuk TSS musim 2023, Yaris berkuasa bahan api neutral karbon ini berjaya meraih tempat ke-11 dan 12 dalam dua perlumbaan pertamanya.

Kalau anda nak tahu, TGR Team Thailand dalam Thailand Super Series 2023 turut bertanding dalam empat lagi kelas iaitu Super Car GTC, Super Car GT4, Super Car GT3 dan Super Car GTM. Kelas terakhir itu menggunakan kereta lumba berkuasa petrol jenis Toyota Supra dan Lexus RC-F. Menariknya, pasukan Toyota kini mendahului kelas perlumbaan Super Car GTM tersebut.

Tahun ini, TSS pada 25 – 27 Ogos akan tiba di Litar Antarabangsa Sepang tetapi berdasarkan kalendar perlumbaan, hanya kelas GT3, GTM dan GTC yang akan bertanding.

Juga bacaNasib VTEC dalam dunia elektrik terletak pada kereta lumba Honda Civic Type R FL5 neutral karbon ini

Source: Dikuasai minyak neutral karbon, kereta lumba Toyota Yaris ini penyelamat masa depan enjin ICE

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *