BMW Malaysia sebentar tadi baru sahaja melancarkan 7 Series generasi G70 ke pasaran kita. Sedan mercu BMW yang baharu ini ditawarkan melalui varian 750e Pure Excellence dan 750e M Sport, masing-masing pada harga RM 649,800 dan RM 700,000 (harga di atas jalan, CKD Kulim, tanpa insurans, termasuk pakej servis dan waranti lanjutan 5 tahun tanpa had perbatuan).
Kalau anda nak tahu, 740Le M Sport yang lalu dijual pada RM 634k, sekaligus menyaksikan peningkatan sebanyak RM 16k buat model baharu ini.
Secara amnya, ia dikuasakan oleh enjin 3.0L turbo 6-slinder sebaris (B58) yang dibantu oleh motor elektrik untuk menghasilkan 489 PS dan 700 Nm tork. Motor tersebut dijana oleh bateri berkapasiti 22.1 kWj.
Kuasa dihantar ke semua roda (xDrive) melalui transmisi automatik 8 kelajuan. Selain kelajuan yang dihadkan pada 250 km/j, pecutan 0 – 100 km/j mengambil masa sepantas 4.8 saat.
Masuk ke bahagian dalam, kabin limosin ini didominasikan oleh skrin lengkung BMW Curved Display yang merangkumi kluster digital 12.3 inci dan infotainment 14.9 inci. Head-Up Display (HUD) juga dilengkapkan sekali. Penyaman udara 4-zon juga didatangkan secara standard.
Secara amnya, varian M Sport menggunakan trim kayu kilat, manakala varian Pure Excellence dengan trim kayu oak.
Antara ciri yang ada termasuklah bumbung suria panoramik Sky Lounge berperlindungan UV tetapi apa yang unik buat varian M Sport adalah BMW Theatre Screen 8K bersaiz 31.3 inci sekali dengan audio Bowers & Wilkins.
Dari segi keselamatan, varian M Sport hadir dengan ADAS Driving Assistant Plus, manakala varian Pure Excellence menggunakan jenis Professional dan secara amnya, terdapat ciri bantuan parkir autonomi Parking Assistant Plus.
Source: BMW 7 Series 2023 CKD generasi G70 dilancar di Malaysia – dari RM 650k, PHEV, 489 PS/700 Nm