Betul ke Proton Satria GTi padu? Kami menguji pandu unit yang telah melalui proses restorasi sepenuhnya oleh DSR!

Betul ke Proton Satria GTi padu? Kami menguji pandu unit yang telah melalui proses restorasi sepenuhnya oleh DSR!

Pengeluar kereta pertama Malaysia hanya berusia satu dekad apabila Proton memperkenalkan Proton Satria pada tahun 1994. Ia merupakan hatchback 3 pintu pertama syarikat itu dan dipasarkan kepada pembeli muda yang ingin mempunyai sesuatu yang hampir sama dengan Civic EG hatchback tetapi dengan bajet yang lebih rendah.

Satria mempunyai ramai peminat tegar, dan ianya masih diminati sehingga ke hari ini. Pada era itu, ada segelintir yang memanggilnya sebagai hatchback Wira 3 pintu kerana ia kelihatan hampir sama dengan Wira sedan 4 pintu dan hatchback/Aeroback 5 pintu.

Namun, apabila Proton melancarkan Satria GTi empat tahun kemudian pada tahun 1998, suara-suara tersebut bertukar menjadi positif.

Proton Satria GTi bukanlah hot hatch tunggal Proton tetapi ia adalah yang paling ikonik kerana ia adalah hot hatch pertama Malaysia, secara tidak langsung membangkitkan rasa patriotik yang kuat dalam setiap rakyat Malaysia.

Ingat lirik Keranamu Malaysia yang setiap kanak-kanak pada tahun 90-an harus menyanyikannya semasa sambutan Hari Kebangsaan? Saya yakin ada diantara anda yang membayangkan Satria GTi sebagai salah satu kereta ketika menyanyikan bibit lirik “Berkereta jenama negara”.

Baca juga: Top 12 – Proton Satria dan Satria Neo yang ‘rare’ dan unik!

Bahkan selepas hampir dua dekad tiada dari pasaran, masih terdapat pakar penala dan restorasi tempatan yang mampu mengembalikan semula seri GTi seperti baru keluar kilang. Salah satu pakar restorasi adalah pasukan yang tidak perlu diperkenalkan kerana mereka telah melakukan banyak projek restorasi terbaik pada beberapa model warisan Proton.

Baca juga: Proton Satria Neo S2000 supercharged ini adalah simbol penghormatan kepada konsep berusia 10 tahun!

Kami telah menampilkan beberapa projek Dream Street Restoration (DSR) termasuk Proton Waja MME Edition yang unik dan Proton Wira 1.8 EXi (C99). Tetapi sebelum kita mengenali projek terbaru mereka yang melibatkan Satria GTi berwarna perak ini, mari kita kembali ke masa lalu untuk melihat bagaimana dan mengapa hot hatch ini boleh wujud.

“Spirit of Achievement”

Wartawan Malaysia mengagumi Lotus Elise yang baru dilancarkan lebih 25 tahun lalu

Proton menggegarkan dunia automotif pada Oktober 1996 apabila ia membeli Lotus Cars dari keluarga Artioli yang juga memiliki Bugatti pada masa itu. Syarikat lain yang juga ingin membeli pembuat kereta sukan British itu adalah Daewoo Motors dari Korea Selatan yang akhirnya bankrap pada tahun 1999.

Mata antarabangsa tertumpu pada Proton, tetapi sejak pembuat kereta nasional pertama hanya membangunkan model Mitsubishi yang diubahsuai pada masa itu, ramai dalam industri bertanya-tanya bagaimana sebuah pembuat kereta sports seperti Lotus boleh memainkan peranan dalam semua ini.

Jawapannya terletak pada Proton Satria yang berusia dua tahun pada masa itu dan merupakan antara kereta yang paling laris di negara itu. Di mata Proton, hatchback 3 pintu itu merupakan kanvas yang sesuai untuk menunjukkan kepada dunia bahawa industri automotif muda seperti Malaysia mampu membangunkan sebuah kereta berprestasi.

Yahaya Ahmad (di sebelah kiri wanita) di Pameran Motor Antarabangsa Langkawi pada tahun 1996

Pada masa itu, Proton diketuai oleh Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad yang telah mengambil alih jawatan sebagai CEO setelah syarikatnya, Diversified Resources Berhad (DRB) membeli sebahagian besar saham dalam pembuat kereta itu.

Lelaki yang dijuluki “raja kereta Malaysia” oleh akhbar asing itu juga di belakang keputusan Proton untuk membeli pegangan majoriti dalam Lotus.

Baca juga: Retrospektif: EON & USPD – Ketika Proton mempunyai rangkaian pengedar berasingan seperti Toyota pada 90an

Tengku Mahaleel (kiri)

Sebagai seorang yang berjiwa visionari, Yahaya melihat pengambilalihan Lotus sebagai batu loncatan untuk mengubah Proton menjadi lebih daripada sekadar jaguh kampung. Oleh itu, beliau menugaskan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, yang pada masa itu merupakan Naib Presiden Strategi dan Operasi Proton, untuk mengendalikan projek kereta prestasi baru ini bersama-sama dengan pasukan dari Lotus.

Malangnya, Yahaya tidak dapat melihat impian beliau terlaksana kerana beliau terkorban dalam kemalangan helikopter pada tahun 1997. Tengku Mahaleel mengambil alih sebagai CEO Proton tetapi terus bekerja pada projek tersebut dengan Lotus.

Dalam satu temubual dengan Paul Tan BM, Tengku Mahaleel mengatakan bahawa seluruh pembangunan Satria GTi adalah rahsia yang tidak diketahui oleh Mitsubishi, yang merupakan rakan kongsi utama Proton.

Mirage Cyborg, antara varian prestasi keluaran Mitsubishi sendiri

Walaupun ia berdasarkan pada Mitsubishi Colt/Mirage dan dikuasakan oleh enjin asal Mitsubishi dalam bentuk 1.8-liter DOHC 4G93P aspirasi natural, Satria GTi sebenarnya adalah hasil kolaborasi Lotus/Proton, dengan Tengku Mahaleel bekerja rapat dengan ketua reka bentuk Lotus, Julian Thompson.

Model awal Satria GTi mempunyai logo lama Proton sebelum ia digantikan dengan lencana “Thundercat”

Jurutera Lotus membantu meningkatkan keselesaan Satria GTi yang akan menjadi salah satu keunggulan hot hatch pertama Malaysia. Walaupun Satria GTi bukanlah kereta Proton pertama yang menampilkan Lotus Ride & Handling – yang pertama adalah Proton Perdana V6 yang diperkenalkan setahun sebelum Satria GTi – hot hatch ini membentuk asas kecemerlangan Proton dalam mengambil selekoh dengan baik.

Baca juga: Kisah ‘donor car’ Proton Perdana yang gagal di Jepun, bersama kembar coupe Mitsubishi Emeraude!

Dalam temubual yang sama, Tengku Mahaleel menyatakan bahawa tempoh pembangunan untuk Satria GTI lebih singkat berbanding model lain. Ia mengambil masa 100,000-200,000 jam untuk menyiapkan pembangunan hatchback tersebut berbanding kira-kira 1.3 juta jam untuk model baru, mengurangkan masa hampir 30% berbanding masa pembangunan biasa.

Baca juga: Video: Proton Satria GTi dianggap kereta klasik Malaysia menurut Youtuber dari British ini

Hasilnya adalah sebuah hot hatchback yang tidak hanya menimbulkan kehebohan di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga media British yang kerap kali kritikal.

Pada waktu itu, nampaknya Malaysia berjaya mencapai puncaknya dengan negara memiliki menara berkembar tertinggi di dunia dan hot hatch yang dapat bersaing dengan beberapa yang terbaik di dunia.

Kereta klasik moden Malaysia

Rasa kebanggaan itu masih berterusan hingga hari ini kerana Satria GTi sangat diminati ramai. Contoh yang elok masih boleh diperoleh sekitar RM 25,000 tetapi terdapat banyak contoh GTi yang diubah suai di dalam jualan dalam talian, jadi pastikan anda mencari model yang asli.

Baca juga: Proton Satria GTi terpakai serendah RM 25k, berapa kos nak bela hothatch ‘legend’ ini?

Projek “Flying Magic Carpet” melalui proses restorasi (Kredit: DSR)

Kami sudahpun menulis panduan pembelian untuk Satria GTi, jadi mari kita kembali ke bintang artikel ini. Pemilik Proton Satria GTi 2000 ini bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas asli yang berpusat di Iraq. Oleh kerana itu, pasukan di DSR menamakan projek pemulihan ini “The Flying Magic Carpet”.

Menurut Suriya, pemilik terdahulu Satria GTi ini adalah pesara dari Taiping dan sepanjang 20 tahun di bawah pemilikannya, hatchback ini hanya mengumpulkan sekitar 180,000 km dalam jarak perjalanan. Ia bukanlah kereta mahal tetapi pemilik  inihanya menggunakannya di sekitar bandar dan mendapat beberapa kesan lebam dan calar.

Satria GTi telah “dipratonton” kembali apabila DSR mengadakan pelancaran bengkelnya pada tahun 2022

Suriya dan pasukannya di DSR telah melakukan keajaiban dalam memulihkan Satria GTi ke keadaan hampir seperti baru keluar kilang. Ini tidak menghairankan kerana DSR adalah pakar apabila ia berkaitan dengan Proton bertenaga 4G9X seperti Proton Putra dan Proton Wira “tiang gol” 1.8 EXi DOHC.

Satria GTi adalah kereta impian pemilik semasa dan ya, impian boleh datang dari sesuatu yang cukup mudah diperoleh dan tidak terlalu mahal. Ia tidak perlu menjadi ekstrem atau unik. Melihat Satria GTi ini didepan mata, anda akan terkenang bagaimana rasanya hidup pada 20 tahun yang lalu ketika telefon bimbit masih sebesar bata dan internet berbunyi ketika disambungkan.

Sebenarnya, Satria GTi ini juga merupakan salah satu projek awal DSR kerana (nombor 006). Oleh kerana pemiliknya berada di luar negara pada masa itu, projek ini mengambil masa kira-kira 2 tahun untuk siap. Memandangkan keadaan badan kereta kebanyakannya masih baik, DSR hanya perlu membaiki kesan kemek dan mengecat semula warna perak yang ikonik.

DSR juga melakukan proses ‘blueprint’ pada enjin 4G93P, jadi Satria GTi ini tidak hanya kelihatan bagus dari luar tetapi ia juga terasa baru dari kilang! ‘Blueprinting’ adalah lebih daripada sekadar ‘overhaul’ kerana ia memerlukan masa yang banyak untuk membina semula enjin dengan lebih baik atau sama seperti semasa enjin itu dibuat di kilang.

Kalah kereta baru!

“’Smooth’ dan sedap” merupakan ungkapan yang ramai diantara kami di WapCar sebut ketika memandu Satria GTi ini. Enjin 4G93P ini memberikan kuasa secara lancar walaupun ia hanya menghasilkan kuasa 140 PS/167 Nm. Oleh kerana ia adalah enjin yang baru dibina semula, anda boleh menukar gear masuk ketiga ketika melalui bulatan atau jalan menaik, dan ia akan terus meluncur dengan laju.

Kombinasi lambang berlegenda

Anda juga dapat merasakan talaan Lotus Ride & Handling ketika melalui beberapa selekoh berhampiran Bukit Persekutuan. Ia adalah kereta yang menyeronokkan untuk dipandu dan semua orang yang memandu keluar dari hatchback ini dengan senyuman yang besar.

Sama ikonik seperti arca ‘fender’ dengan rivet

Walaupun Satria GTi ini sudahpun dikira ‘perfect’ dengan ekzos petak berkembar yang ikonik serta rim aloi 6 bilah, DSR telah membuat beberapa penyesuaian pada projek keenamnya.

Suspensi GTi ini 15 mm lebih rendah daripada GTi standard, mengambil inspirasi daripada Satria R3 yang ‘rare’ tetapi sama ikoniknya. Unit infotainmen asal digantikan dengan pemain Android yang nampak seperti asli.

Baca juga: Proton Satria R3 1.8 2004, bintang pertama dari Race Rally Research

Kredit: DSR

Ada juga penambahbaikan penyerap bunyi tambahan yang diletakkan di seluruh casis. Dalam pengalaman memandu kami, memang kabin terasa senyap.

Kunci lagi satu lebih cantik

Selebihnya kekal seperti mana ia keluar daripada kilang 23 tahun yang lalu. Logo Proton masih berwarna biru, emas, dan hijau, tempat duduk Recaro Enjoy masih terasa empuk seperti pada awal milenium, dan ia masih mempunyai kunci pendua asal!

Baca juga: Proton Putra, Satria GTI dan Wira 1.8 EXI – tiga jaguh Malaysia suatu ketika dahulu

Label amaran ini adalah asal kepada kereta dan ditulis dalam bahasa Inggeris, Jerman, Perancis dan Sweden
Satria GTi telah mencatatkan lebih 2,000 km sejak proses ‘blueprint’

DSR menambah beberapa tambahan lain pada Projek 006 termasuk karpet dan papan elektronik meter yang direka untuk tahan suhu yang lebih tinggi dan akan bertahan lebih lama daripada yang dibuat oleh Proton pada zaman dahulu.

Ketika ketenaran Satria GTi dan mitosnya di kalangan penggemar kereta Malaysia terus meningkat, begitu juga harga dan keinginan untuk memilikinya. Proton menghasilkan kira-kira 5,000 unit Satria GTi antara 1999 dan 2006, dan salah satunya adalah unit yang ada lihat disini.

Jika anda mencari kereta terpakai berkualiti yang hampir seindah Satria GTi ini, mengapa tidak memuat turun aplikasi Carsome untuk peranti smartphone anda?

Terima kasih khas kepada Suriya dari Dream Street Restoration (DSR) kerana memberi kami peluang untuk berkongsi kisah projek Satria GTi ini.

@wapcar_zamil Mana pemilik Satria GTI ori, kasi hadir 👍🏻 #learnontiktok #carmalaysia #fypmalaysia #tahukahanda #malaysia #proton #protonsatria #satriagti #satriasociety #reviewkereta #wapcar #lotus ♬ original sound – Zamil_WapCar.my

Source: Betul ke Proton Satria GTi padu? Kami menguji pandu unit yang telah melalui proses restorasi sepenuhnya oleh DSR!

SHARE NOW

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *