Saingan berprestij Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi pusingan dua, hujung minggu ini, perlumbaan yang dilihat peluang buat pelumba negara melakar kebangkitan.
Berakhir Pusingan 1 di Buriram, Thailand pada Mac lalu, hanya seorang pelumba negara berjaya menghuni tangga teratas kejuaraan itu menerusi Md Hafiza Rofa dalam kelas UB150.
Dalam kelas elit ASB1000, ia ditakluk pelumba Jepun, Haruki Noguchi (MS Harc-Pro.Honda.Ph) yang memenangi kedua-dua perlumbaan di Thailand manakala dalam kelas SS600, tangga pendahulu dipegang pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat (Honda Racing Thailand).
Lebih mengecewakan, tiada pelumba negara berada di kedudukan tiga teratas kelas AP250 dengan carta pendahulu dikemudi pelumba Indonesia, Rheza Banica Ahrens (Astra Honda Racing).
Menyifatkan Pusingan 1 di Thailand sebagai medan untuk mendapatkan keserasian dengan jentera baharunya, BMW M1000 RR, pelumba negara Azlan Shah Kamaruzaman berkata beraksi di Sepang bakal memberinya kelebihan.
“Selain daripada saya menggemari litar ini, ia juga adalah perlumbaan di laman sendiri dan ia akan memberikan saya motivasi yang kuat untuk melakukan lebih baik,” kata Azlan yang juga bekas pelumba di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2.
“Pusingan 1 sebelum amat sukar kerana saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk menunggang jentera baharu. Saya tidak mempunyai jarak tunggangan yang cukup dan kita semua tahu Honda memiliki jentera yang amat berkuasa.”
Ketika ini, Azlan yang juga pelumba pasukan OneXOX BMW TKKR menghuni tangga kedua keseluruhan kelas ASB1000 manakala seorang lagi pelumba negara yang juga juara musim lalu, Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with SHOWA) di tangga kedua.
Sementara itu, pelumba negara yang beraksi dalam kelas SS600, Khairul Idham Pawi atau KIP turut mengakui aksi di Sepang memberinya kelebihan namun ia turut bergantung kepada kondisi jenteranya (Honda CBR600RR).
“Saya menyukai litar Sepang. Ia adalah gelanggang laman sendiri buat saya dan saya meraikan pelbagai kejayaan di sini. Tetapi untuk berjaya, antara kuncinya adalah keupayaan jentera. Jadi, kerja berpasukan adalah penting bagi memastikan jentera yang kami ada hampir sempurna untuk perlumbaan.”
Di Thailand Mac lalu, aksi yang dipamerkan KIP boleh dikatakan cemerlang apabila bekas pelumba negara di Kejuaraan Motosikal Dunia (Moto2 dan Moto3) itu memenangi Perlumbaan 1 dan meraih tempat kedua pada Perlumbaan 2.
Sementara itu, Hafiza Rofa mengakui dia berharap untuk mengulangi kejayaan meraih kemenangan di Sepang pada tahun lalu dan sudah mengharungi persiapan yang baik termasuk melakukan ujian.
“Saya agak yakin tetapi saya tetap berdoa agar tiada halangan lain berlaku ketika perlumbaan,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu. “Tahun ini, saingan UB150 menghadirkan cabaran lebih getir terutama dengan kehadiran ramai pelumba berkualiti.
“Sajak dua tahun lalu, saya dapat mempelajari banyak perkara bukan saja teknik tunggangan, tetapi kemampuan untuk mengawal situasi ketika berlumba. Salah satunya adalah tidak boleh tamat setiap pusingan, kekal tenang dan fokus serta mempunyai visi untuk menang,” katanya.
Selain empat kategori utama, turut dianjurkan adalah Kejuaraan TVS Asia One Make yang turut menampilkan dua pelumba negara, Md Muzakkir Mohamed dan Md Ramdan Rosli.
Sebagai info, perlumbaan ARRC di Sepang akan dimulakan dengan Perlumbaan 1 pada Sabtu diikuti Perlumbaan 2 pada Ahad (semua kategori).
Jadual perlumbaan Pusingan 2 ARRC 2023 di Sepang
Sabtu (13 Mei 2023) Perlumbaan 1
- TVS Asia – 12.35 tgh hari
- UB150 – 1.20 tgh hari
- AP250 – 2.05 ptg
- SS600 – 2.55 ptg
- ASB1000 – 3.30 ptg
Ahad (14 Mei 2023) Perlumbaan 2
- TVS Asia – 12.35 tgh hari
- UB150 – 1.20 tgh hari
- AP250 – 2.05 ptg
- SS600 – 2.55 ptg
- ASB1000 – 3.30 ptg
Source: ARRC 2023 kembali ke Sepang, peluang jaguh tempatan manfaat kelebihan gelanggang sendiri!