Satu perkhabaran menggembirakan buat peminat KTM muncul, baru-baru ini susulan terdedahnya imej intip motosikal yang berkemungkinan besar generasi terbaharu KTM Duke 125/390 yang sedang diuji di Sepanyol.
Tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah model 125 atau 390, tetapi menurut laporan media di Eropah, ia adalah model bersesaran rendah.
Dan berdasarkan imej itu, terdapat perubahan dari sudut estetik dilakukan oleh KTM termasuk dari sudut casis.
Meninjau kelainan yang dibuat terutama dari sudut rekaan, ia tampak mengikuti ‘lenggok’ rekaan ‘abang besarnya’, KTM 1290 Super Duke R menerusi penggunaan panel bawah tangki yang dilihat menutup sebahagian fork.
Selain itu, apa yang turut mengujakan adalah model yang diintip menggunakan lampu depan serta ‘mudguard’ depan dengan reka bentuk baharu. Suspensi dengan fork USD juga nampak berbeza berbanding versi sedia ada dengan kedudukan brek cakera yang diubah dari kiri ke kanan.
Turut dijangka mengalami perubahan adalah di bahagian ‘subframe’ yang dilihat menggunakan aluminium berbanding keluli untuk versi sedia ada.
Sebagai info, model KTM Duke 125/390 generasi terkini sudah berada agak lama di pasaran yang memberi petanda ia antara model yang bakal dinaiktaraf.
Dikongsikan oleh media Itali, Motociclismo, tetapi jangan terlalu gembira kerana model yang sedang diuji itu masih di peringkat awal dan berkemungkinan tidak akan dilancarkan pada tahun ini.
Ini berikutan beberapa komponen utama dilihat masih belum lengkap.
Source: KTM diintip uji KTM Duke 125/390 ‘Gen’ baharu, gaya dah macam ‘abang’ KTM 1290 Super Duke R!