App MyJPJ ditambah baik – isu “telah mendaftar”, sekuriti tambahan, tukar emel diselesaikan

Beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan ke atas aplikasi mobile MyJPJ dan Portal Awam JPJ bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna dan memudahkan pengguna dari segi penetapan semula emel serta mendapatkan semula akaun pengguna yang berdepan isu “telah mendaftar”.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dato’ Zailani Haji Hashim, berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa langkah bagi menambahbaik ciri-ciri keselamatan dan mesra pengguna setelah menerima pelbagai maklumbalas dari orang ramai.

Pertama, sekuriti peringkat ketiga diperkenalkan dimana pengguna perlu memasukkan 8 aksara terakhir yang tertera di belakang lesen memandu untuk pendaftaran JPJeID secara dalam talian. Ini merupakan tambahan kepada dua peringkat sekuriti sedia ada iaitu “kata laluan” dan “kod TAC”.

Kedua, fungsi bagi mendapatkan semula akaun pengguna melalui 8 aksara terakhir lesen memandu turut ditambah sebagai penyelesaian kepada isu “telah mendaftar”. Ini kerana segelintir pengguna berdepan kekeliruan ketika memasuki aplikasi MyJPJ disebabkan pengguna sebelum ini mempunyai akaun di portal rakan strategik JPJ yang berintegrasi dengan sistem JPJ.

Ketiga, fungsi Penetapan Semula Emel juga telah ditambah bagi pengguna yang terlupa emel yang digunakan atau perlu mengemaskini emel secara dalam talian dengan tambahan 8 aksara lesen memandu.

Juga baca: Tak perlu lekat cukai jalan, lesen memandu juga boleh tunjuk dari app MyJPJ sahaja

Contoh paparan lesen memandu digital (e-LMM) dan cukai jalan kenderaan digital (e-LKM) di app MyJPJ

“Penambahbaikan ciri-ciri keselamatan ini dapat diakses oleh pengguna secara berperingkat mengikut Operating System telefon (Android, IOS dan Huawei) mulai 15 Februari 2023. Dalam hal ini, Kementerian Pengangkutan juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan aspek keselamatan siber Aplikasi MyJPJ terjamin,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh disalurkan ke emel infodigital@jpj.gov.my atau menghubungi talian hotline JPJ iaitu 03 – 2724 2522.

Setakat ini, 2.5 juta pengguna kenderaan persendirian sudah pun mendaftar aplikasi MyJPJ sejak pelaksanaan Lesen Memandu Malaysia digital (e-LMM) dan Lesen Kenderaan Motor digital (e-LKM) diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada Jumaat lalu.

Source: App MyJPJ ditambah baik – isu “telah mendaftar”, sekuriti tambahan, tukar emel diselesaikan

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *