MotoGP: Kerja Repsol Honda makin rumit, Marc Marquez kata RC213V di Sepang tak boleh menang kejuaraan Dunia!

Jaguh MotoGP Honda, Marc Marquez tidak memperoleh input yang diharapkan di Sepang sehingga menyuarakan pandangan jentera Honda RC213V yang diuji masih belum memuaskan hatinya.

Dipalit masalah kecederaan yang berlarutan selama dua tahun, juara dunia MotoGP enam kali itu mengakui gembira keadaan fizikalnya sekarang menjelang kempen 2023.

Tetapi apabila mengulas mengenai situasi jenteranya bagi menghadapi musim 2023, Marquez berkata: “Ini bukan jentera yang membolehkan saya memenangi kejuaraan, saya memerlukan (jentera) yang selangkah di depan.”

Berbaki satu lagi sesi ujian di Portimao, Portugal sebelum saingan MotoGP rasmi membuka tirainya, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui masa yang ada sudah suntuk dan menggesa jurutera Honda segera memperbaiki masalah yang timbul.

“Kami tidak mempunyai masa untuk menguji tiga jentera (di Portimao),” kata Marquez. “Adalah penting untuk memilih satu arah saja, satu jentera saja.

Marc Marquez

“Ia (jentera di Sepang) adalah jentera yang sama seperti jentera di Valencia (ujian), konsep yang sama, masalah yang sama. Kini adalah masa untuk memperbaiki masalah. Saya tidak tahu bagaimana. Saya hanya memberikan komen.”

Turut ditanya oleh Sky Sport mengenai klausa terkini Honda dalam kontraknya yang membenarkannya meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini, Marquez membalasnya dengan ringkas.

“Saya tidak boleh berfikir mengenai perkara ini sebelum musim bermula. Saya mempunyai kontrak selama dua tahun dan saya mahu menang, berkemungkinan dengan Honda,” katanya.

Sebagai info, Marquez adalah pelumba yang mempunyai gaji paling lumayan di kalangan pelumba-pelumba MotoGP ketika ini dengan kontraknya akan berakhir sehingga penghujung musim 2024.

Juga baca: Senarai gaji pelumba MotoGP, paling tinggi RM 58.1 juta setahun!

Sumber imej: FB Marc Márquez, Sepang Circuit

Source: MotoGP: Kerja Repsol Honda makin rumit, Marc Marquez kata RC213V di Sepang tak boleh menang kejuaraan Dunia!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *