Ducati Monster (2024) peroleh skema warna ‘Iceberg White’, tambah memikat!

Ducati mengemaskini pilihan warna bagi model ‘Naked’ popularnya, Ducati Monster bagi versi 2024 yang katanya lebih elegan dan memikat diberi nama sebagai ‘Iceberg White’.

Pilihan warna yang mengikuti tema terkini jenama ikonik Itali itu boleh diperoleh dalam kedua-dua varian Monster iaitu Standard dan Monster+.

Sebagai info, Ducati Monster mendapat kemas kini besar-besaran pada dua tahun lalu di mana ia tidak lagi menggunakan kerangka trellis dan digantikan dengan kerangka sama seperti model Panigale, trenkuasa lebih bertenaga, berteknologi dan lebih ringan.

Justeru, tiada perubahan dijalankan dari sudut rekaan mahupun spesifikasi mekanikal terhadap Ducati Monster (2024). Dan untuk meningkatkan ‘kehensemannya’, ia turut digandingkan dengan pelana berwarna merah.

Di bahagian trenkuasa, Ducati Monster (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 937 cc L-Twin Testastretta 11 yang menghamburkan kuasa 111 Hp pada 9,250 rpm dan tork 93 Nm pada 6,500 rpm.

Sistem transmisi adalah 6 kelajuan klac manual lengkap dengan sistem Ducati QuickShift (Up & down).

Dan dengan pelbagai pembaharuan, termasuk lengan ayun, rim aluminium, subfrem baharu, ia kini hanya seberat 166 kg berbanding 175 kg (model terdahulu).

Sebagai motosikal yang dipacu teknologi moden, Ducati Monster (2024) memiliki tiga mod tunggangan (Sport, Urban dan Touring). Ia juga lengkap dengan ciri moden lain seperti ABS Selekoh, Kawalan Traksi, Kawalan Wheelie dan Kawalan Luncur.

Ciri-ciri menarik termasuklah penggunaan lampu LED penuh termasuk lampu siang DRL, panel meter digital TFT berwarna 4.3 inci, tangki bahan api 14 liter.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) 43 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri pelarasan prabeban. Sistem brek depan menggunakan cakera kembar 320 mm dengan kaliper Brembo M4.32 monoblok 4-piston dan cakera tunggal 245 mm dengan kaliper brek 2-piston (belakang).

Di pasaran Malaysia, Ducati Monster dijual pada harga asas RM 75,900 dan Ducati Malaysia mempunyai promosi khas menarik kepada sesiapa yang berminat untuk memilikinya ketika ini.
 

Source: Ducati Monster (2024) peroleh skema warna ‘Iceberg White’, tambah memikat!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *