Isu batal projek 1 negeri 1 litar ‘drag’. K’jaan tak fahami aspirasi anak muda – Ismail Sabri

Keputusan kerajaan tidak meneruskan projek 1 negeri 1 liter ‘drag’ yang sebelum ini diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan seolah-olah tidak memahami aspirasi dan minat anak muda dalam bidang sukan permotoran.

Ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri, sejumlah RM 20 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar-litar berkenaan yang bertujuan memberi peluang kepada belia membabitkan diri secara serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul. 

Litar Drag Merlimau, Melaka

Begitupun, memetik laporan Utusan Malaysia, Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan tidak bercadang untuk meneruskan projek itu.

Ketika pembentangan di Parlimen, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata antara sebab kementerian itu tidak meneruskan projek itu adalah ia akan mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi termasuk perlu menggaji profesional untuk menguruskannya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Kesal dengan perkembangan itu, Ismail Sabri ketika diminta mengulas mengenainya berkata kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran adalah salah satu punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak.

Dan tegasnya, kewujudan litar-litar seperti dicadangkan boleh menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara. 

Litar Drag Terengganu

Justeru katanya, pihak KBS diharap dapat memberi pertimbangan sewajarnya akan cadangan tersebut agar satu penyelesaian tuntas dapat diberikan dan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh para belia.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mencadangkan KBS untuk meninjau dan melawat litar perlumbaan drag yang sudah siap dibina di Terengganu dan Johor. 

Menteri KBS, Hannah Yeoh

Katanya, pembinaan litar drag di Johor memakan kos yang minimum seperti pembinaan litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstand. 

“Pembinaan litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap pada tahun 2022 juga hanya melibatkan kos sebanyak RM1.3 juta iaitu satu usaha kerjasama di antara agensi swasta, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Litar Batu Kawan Pulau Pinang

Hannah berkata tumpuan kementeriannya ketika ini adalah terarah kepada usaha untuk menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sukan sedia ada.

Source: Isu batal projek 1 negeri 1 litar ‘drag’. K’jaan tak fahami aspirasi anak muda – Ismail Sabri

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *