Yamaha YZF-R25 (2023) dikemaskini di Jepun, tapi penantian ‘Gen’ baru berterusan!

‘Sportbike’ suku liter handalan Yamaha, YZF-R25 (2023) diberikan kemas kini di pasaran Jepun menerusi pengenalan skema warna baharu yang dikatakan lebih ‘trendy’ dikenali ‘Dark Blueish Purple Metallic‘. 

Kepada peminat tegar Yamaha, pilihan warna tersebut seperti mengimbau masa lalu kerana ia pernah digunakan di era 90-an.

Juga baca: Yamaha YZF-R25 (2022) di pasaran Malaysia kini lengkap ABS, 2 warna baharu, harga asas RM 22.9k!

Kepada yang tidak menggemari warna seperti itu, pilihan warna dahulu iaitu Deep Purplish Blue Metallic dan Black Metallic masih tersedia.

Sedikit mengecewakan, selain daripada pilihan warna baharu yang mengimbau memori, tiada perubahan lain dilakukan kepada Yamaha YZF-R25 (2023) dengan rekaan dan trenkuasa yang digunakan masih sama.

Menggunakan enjin bersesaran 249 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC, ia digandingkan bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah setinggi 35.5 Hp pada 12,000 rpm dengan Tork 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

Informasi menarik lain membabitkan Yamaha YZF-R25 (2023) adalah ia menggunakan lampu LED penuh, panel meter digital LCD, tangki bahan api 14.3 liter, berat 169 kg dan ketinggian pelana 780 mm yang sememangnya memudahkan.

Dari sudut harga, motosikal ini dijual pada harga 690,800 Yen (RM 22,795).

Mengulas ringkas Yamaha YZF-R25 generasi terkini, ia diperkenalkan pada tahun 2019 dan sekalipun dikatakan menjadi antara model yang diberikan pembaharuan besar-besaran, sama seperti R15 pada tahun lalu, tiada perkembangan lanjutan sehingga kini. 

Di pasaran Malaysia, Yamaha YZF-R25 dikemaskini oleh Hong Leong Yamaha Motor pada September tahun lalu dan dijual pada harga asas RM 22,998.

Juga baca: Yamaha YZF-R25/R3 V3 jalani ujian di seberang, betul ke pelancaran sudah dekat?

Source: Yamaha YZF-R25 (2023) dikemaskini di Jepun, tapi penantian ‘Gen’ baru berterusan!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *