WSBK: Toprak tinggalkan Yamaha, sah sertai BMW Motorrad musim 2024!

Toprak Razgatlioglu sah meninggalkan Yamaha sejurus kempen Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim 2023 berakhir dan menyertai satu lagi jenama gergasi, BMW Motorrad bagi musim 2024.

Situasi berkenaan boleh dikatakan agak mengejutkan dengan bintang Turki itu tidak menunggu lama untuk mengumumkan keputusan itu termasuk destinasi terbaharunya.

Yamaha sebelum ini pernah membuat tawaran kepada Toprak namun ia bukanlah sesuatu yang dimahukan oleh juara dunia WSBK 2021 itu iaitu penampilan di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Mengulas kehadiran Toprak, Pengarah BMW Motorrad Motorsport, Marc Bongers berkata: “Tiada keraguan Toprak adalah salah satu pelumba terbaik di dunia ketika ini, yang dibuktikan dengan memenangi kejuaraan dunia WSBK 2021.

“Tetapi dia bukan saja pelumba motosikal, dia juga mempunyai personaliti yang hebat di atas litar. Kami yakin yang Toprak akan dapat menyesuaikan diri dengan keluarga BMW Motorrad Motorsport dengan pantas.”

Tanpa Toprak, Yamaha kini mencari pengganti berkaliber dengan dua lagi jaguh utama, Jonathan Rea dan Alvaro Bautista masing-masing sudah mengesahkan kontrak lanjutan bersama Kawasaki dan Ducati.

Bagi Toprak, penghijrahannya ke BMW bagaikan mengikuti jejak seorang lagi bekas pelumba Yamaha, Michael Van Der Mark pada 2021. 

Sebelum Yamaha, Toprak pernah menyertai Kawasaki dan kehadirannya di BMW Motorrad mungkin mencetuskan ‘goyang’ buat pelumba Britain, Scott Redding bersama pasukan berkenaan.

Ketua BMW Motorrad, Dr. Markus Schramm berkata: “Selamat datang ke keluar BMW Motorrad Motosports Toprak Razgatlioglu. Kami cukup gembira dan mengalu-alukan kehadirannya ke pasukan utama kami di WSBK bermula musim depan.

“Ini adalah langkah ke hadapan untuk projek kami dan membuktikan komitmen BMW Motorrad Motorsport dalam WSBK.”

Source: WSBK: Toprak tinggalkan Yamaha, sah sertai BMW Motorrad musim 2024!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *