BMW S 1000 RR (2023) mendarat di pasaran Malaysia, 2 varian, harga mula RM 129.5k!

Jentera ‘Superbike’ yang disifatkan sebagai antara paling berprestasi tinggi dalam portfolio BMW Motorrad, BMW S 1000 RR (2023) tiba di pasaran tempatan bersama dua pilihan varian menarik berserta harga permulaan ‘menarik’ RM 129,500 (asas).

Tiba sebagai model terbaharu seperti yang diperkenalkan di peringkat global sekitar Oktober tahun lalu, kehadiran BMW S 1000 RR (2023) menurut BMW Motorrad Malaysia turut menaikkan tanda aras bagi segmen jentera berprestasi tinggi di pasaran tempatan.

Dua pilihan varian BMW S 1000 RR (2023) ditawarkan iaitu:

BMW S 1000 RR (2023) Style Passion 

  • Harga: RM 129,500 (asas)
  • Warna: Racing Red

BMW S 1000 RR (2023) M Package 

  • Harga: RM 149,500 (asas)
  • Warna: Lightwhite

Sebagai jentera yang sinonim dengan kelajuan, setiap aspek BMW S 1000 RR (2023) didakwa dirumus secara khusus untuk perlumbaan yang sekaligus menjadikannya pilihan terbaik bagi mereka yang dahagakan prestasi dan kuasa.

Untuk BMW S 1000 RR (2023), pembaharuan paling ketara mungkin dari sudut rekaan terutama di bahagian ‘fairing’ yang menyaksikan ‘sayap aero’ yang diperbuat daripada gentian karbon kini diintegrasi dengan bahagian depan.

Selain itu, visor angin lebih tinggi turut digunakan yang katanya dapat meningkatkan kelajuan ‘top’ jentera ini berikutan aliran udara dioptimumkan.

Dan seperti model terdahulu, komponen casis BMW S 1000 RR (2023) dikimpal dalam kerangka titian aluminium yang mengintegrasikan enjin secara menyendeng ke hadapan pada sudut 32 darjah. 

Selain rekaan, turut dikemaskini atau diperhalusi BMW Motorrad adalah di bahagian trenkuasa, suspensi serta sistem bantuan tunggangan elektronik. 

Mengulas trenkuasa, BMW Motorrad mendakwa nadi BMW S 1000 RR (2023) iaitu enjin bersesaran 999 cc, 4 Silinder Sebaris, 4 Lejang, 16 Injap, Penyejuk Cecair/Minyak, Suntikan Bahan Api, DOHC juga ditala semula berbanding model terdahulu.

Dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah setinggi 210 Hp pada 13,750 rpm manakala angka tork berada pada paras 113 Nm pada 11,000 rpm. 

Selain naik taraf prestasi, inovasi lebih mengagumkan turut dilakukan bagi menambah baik aspek kawalan buat penunggang. Antaranya adalah ciri Slide Control baharu dalam sistem Dynamic Traction Control (DTC). Satu lagi inovasi yang padu ialah sistem Brake Slide Assist juga juga sebahagian daripada ABS Pro dan menariknya, ia datang secara standard. 

Dilengkapi dengan pelbagai ciri elektronik termaju, BMW S 1000 RR (2023) didatangkan dengan 4 mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic dan Race).

Dan turut datang secara standard adalah BMW Motorrad Race ABS, Hill Start Control (HSC), Shift Assist Pro, lampu signal LED, lampu hadapan dan belakang LED, M GPS Laptrigger, Dynamic Package, yang mencakupi Riding Mode Pro, HSC Pro, Dynamic Brake Control (DBC), Dynamic Damping Control (DDC), penggenggam hangat dan kawalan luncur. 

Kepada yang berminat, BMW Motorrad turut menyediakan pelan pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia di mana pemilikan BMW S 1000 RR (2023) bermula daripada RM 1,578 sebulan (varian Style Passion). Ia berdasarkan anggaran pembiayaan Balloon Financing sebanyak 80 peratus bagi tempoh 4 tahun). 

Seperti biasa, harga yang dipaparkan adalah atas jalan namun tanpa insuran. Setiap pembelian turut disertakan dengan jaminan 3 tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 tahun oleh BMW Motorrad Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai BMW S 1000 RR (2023), anda boleh mengunjungi wakil pengedar BMW Motorrad seluruh negara atau melayari www.bmw-motorrad.com.my.

Source: BMW S 1000 RR (2023) mendarat di pasaran Malaysia, 2 varian, harga mula RM 129.5k!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *