Tak peduli jadual padat, Hakim Danish kembali kibar cabaran Pusingan 2 ETC di Jerez minggu ini!

Jadual cukup padat terpaksa diharungi Hakim Danish Ramli sejak tiga minggu lalu dan ia belum berakhir apabila pelumba muda berbakat negara itu kembali ke litar di Jerez, Sepanyol bagi perlumbaan European Talent Cup (ETC) 2023 minggu ini.

Kembali ke kancah kompetitif bermula dengan perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2023 bermula di Portimao pada penghujung Mac, ‘kerja keras’ buat pelumba kelahiran Terengganu itu bermula pada Pusingan 2 kejuaraan sama di Jerez (29-30 April).

Hakim Danish di perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup

Selepas Jerez, Hakim Danish kemudian tampil beraksi di perlumbaan pembuka tirai ETC pada 6-7 Mei lalu di Estoril, Portugal. Dan jadual padat itu berterusan apabila dia kembali ke litar pada minggu berikutnya di Le Mans, Perancis (13-14 Mei) sebelum dijadual beraksi pada minggu ini sekali lagi di Jerez.

Bagaikan pelumba yang beraksi di kancah elit MotoGP, ini bermakna Hakim Danish perlu mengharungi empat perlumbaan dalam tempoh seminggu berselang.

Mengulas mengenai situasi dirinya menjelang aksi di Jerez, pelumba berusia 15 tahun itu menyifatkan keadaan fizikalnya cergas sekalipun turut berdepan beberapa siri kemalangan.

“Selepas berlumba di Le Mans untuk Red Bull Rookies Cup, saya kembali beraksi untuk pusingan ke-2 ETC,” kata Hakim Danish.

Hakim Danish ketika meraih tempat ketiga di perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2023 di Portugal

“Keadaaan fizikal saya amat baik dan saya bersedia untuk berjuang minggu ini. Saya akan berikan yang terbaik dan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan buat saya.”

Seperti dinyatakan, Hakim Danish berdepan beberapa siri kemalangan termasuk ketika di Le Mans, minggu lalu yang lebih mengecewakan, ketika sedang bersaing di kelompok hadapan.

 Tetapi menurut pasukan pengurusannya, Hakim Danish akan kembali ke Malaysia selepas perlumbaan di Jerez untuk mendapatkan rehat selama enam hari sebelum ‘terbang’ semula ke Eropah bagi Pusingan 3 ETC yang dijadual pada 4 Jun.

Source: Tak peduli jadual padat, Hakim Danish kembali kibar cabaran Pusingan 2 ETC di Jerez minggu ini!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *