MoT: cadangan nombor plat khusus untuk EV bagi memudahkan urusan pengecasan di kawasan awam

Selain pertimbangan untuk mengubah struktur perkiraan cukai jalan (road tax) bagi kenderaan elektrik (EV) yang diumumkan baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke juga menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mengkaji beberapa insentif lain untuk menggalakkan rakyat Malaysia membeli kenderaan EV. Perkara ini termasuklah plat nombor istimewa yang membezakan kenderaan EV daripada kenderaan biasa di jalan raya.

EV dan PHEV di China menggunakan nombor plat berwarna hijau.

Kata beliau dalam acara Green Mobility and Transform Forum kelmarin, “Saya juga telah memberitahu JPJ untuk mencari insentif lain bagi pengguna EV, seperti plat ‘e’ untuk kenderaan EV. Kita boleh ada plat nombor khas untuk EV supaya dapat membezakan ia dengan kenderaan lain. Inilah perkara yang dapat kita bantu untuk menggalakkan penggunaan EV kepada rakyat”.

Secara amnya, usaha ini boleh dibuat seperti siri plat nombor baru yang khusus untuk EV. Sebagai contoh, siri ‘EVS’ yang diterapkan di Singapura untuk kenderaan elektrik yang dipasang di negara tersebut. seperti Hyundai Ioniq 5 misalnya.

EV di Singapura menggunakan nombor plat pendaftaran istimewa.

Antara pilihan atau contoh lain termasuklah menambahkan huruf di bahagian hadapan atau belakang plat, seperti yang dibuat di Jerman, atau menghasilkan plat hijau khas seperti yang dapat dilihat di pasaran China dan UK.

Jika difikirkan secara menyeluruh, initiatif yang sedang dipertimbangkan ini merangkumi idea sejauh menggunakan paparan digital untuk menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan. Apapun, teknologi ini masih jauh dari kenyataan.

Kalau nak lebih realistik pun ialah nombor plat “digital” dengan cip RFID di mana ia akan memudahkan pihak berkuasa mengesan semua kenderaan, bukan hanya EV. Selain itu, ia dapat memudahkan pengguna untuk membayar tol memandangkan Malaysia bersedia untuk melaksanakan tol tanpa palang (MLFF) yang dijangka menggunakan teknologi RFID sedia ada menjelang tahun 2025.

Secara teknikal juga, mempunyai plat nombor khusus sebegini akan memudahkan penguatkuasaan yang khusus untuk EV. Sebagai contoh, pengurus tempat letak kereta atau orang awam dapat mengenal pasti dengan mudah sekiranya tempat parkir kenderaan elektrik atau stesen mengecas ketika itu betul-betul diguna oleh kenderaan EV dan PHEV atau sebaliknya.

Menurut akhbar The Star, Anthony Loke menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan butiran insentif yang disebutkan sebelum akhir tahun ini, sekali dengan struktur cukai jalan EV yang baru.

Juga bacaKiraan “Road Tax” kenderaan elektrik (EV) baharu bakal diperkenalkan menjelang akhir tahun 2023 – MoT

Source: MoT: cadangan nombor plat khusus untuk EV bagi memudahkan urusan pengecasan di kawasan awam

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *