TC Euro Cars (TCEC) sebentar tadi baru sahaja melancarkan Renault Zoe 2023. Harga hatchback EV segmen B ini bermula dari RM 165,000 untuk varian R110 dan RM 179,000 untuk varian R135.
Kedua-dua varian dikuasai bateri berkapasiti 52 kWj tetapi dengan output motor yang berbeza. Sama seperti sebelum ini, pek baterinya masih menggunakan sistem penyejuk cecair tetapi berdasarkan sejarak penggunaan di Malaysia yang serba panas dan lembab ini, ia sudah terbukti berkesan.
Spesifikasi Renault Zoe 2023 | ||
---|---|---|
R110 | R135 | |
Kapasiti bateri | 52 kWj | |
Kuasa | 110 PS | 135 PS |
Tork | 225 Nm | 245 Nm |
Jarak pandu (WLTP) | 396 km | 386 km |
Untuk model 2023, Renault Zoe sudah menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW melalui port CCS2. Mengecas dari 10 – 80% hanya mengambil masa 1 jam 10 minit.
Kadar pengecasan AC pula meningkat kepada 22 kW iaitu agak unik untuk EV segmen ini. Mengecas dari 0 ke 100% untuk mod ini mengambil masa 3 jam dan ia hanya boleh dibuat menggunakan pengecas wall box EVSE.
Dalam hal ini, TC Euro Cars menawarkan pelanggan dengan pilihan membeli pengecas wall box VESTEL 22 kW pada harga RM 6,950. Pengecas VESTEL 7 kW juga ada yang mana ia ditawarkan pada harga RM 6,250. Kalau ikut logik, jenis VESTEL 22 kW lagi berlaloi. Untuk makluman anda, kos itu termasuk sistem kabel 15 meter.
Untuk berjalan jauh, kabel Type 2 22 kW dilengkapkan sekali tetapi pengecas mudah alih tidak termasuk. Jadi, anda tidak boleh mengecas melalui palam 3-pin biasa, kecualilah kalau dalam keadaan kecemasan.
Menurut TCEC, penghantaran pertama untuk Renault Zoe 2023 sudah habis ditempah. Pelanggan yang menempah atau melanggan untuk penghantaran seterusnya pula dijangka menerima unit masing-masing pada Jun atau Julai ini.
Sama seperti kereta Renault yang lain, kontrak langganan juga ada, bermula dari kadar rata sebanyak RM 2,799 setiap bulan untuk 3 tahun (R110) dan RM 2,999 untuk varian R135. Fi pula termasuk insurans dan servis berkala.
Antara ciri standard yang ada pada Renault Zoe 2023 termasuklah:
- Lampu LED
- Rim 16 inci 10 bilah
- 4 beg udara
- Lane Departure Warning
- Hill Start Assist
- Adaptive High Beam
- Blind spot warning
- Bantuan parkir tanpa tangan
- Kawalan pelayaran
- Penyaman udara automatik
- Kluster digital 10 inci
- Infotainment 9.3 inci Android Auto/Apple CarPlay
- Audio 6 pembesar suara
- Tempat duduk fabrik kitar semula
- Pengecas nirwayar
- Kapasiti but 338 liter
- Pelaras cermin sisi jenis berkuasa
Secara amnya, varian R110 hanya ditawarkan melalui pilihan warna Black dan Solid White.
Varian R135 pula menambah ciri seperti:
- Rim 16 inci 15 bilah
- Lampu kabus depan
- 2 port USB pada bahagian belakang
- Cermin pandang belakang jenis elektrokromik
- Kamera undur
- Pengesan halangan depan
- Tempat duduk hitam berkombinasi fabrik dan kulit
- Lipatan cermin sisi jenis berkuasa
Untuk varian ini, pembeli ditawarkan dengan pilihan warna Black, Blue, Purple dan Red.
Setiap Renault Zoe 2023 disokong oleh waranti 3 tahun/100,000 km untuk kenderaan dan trenkuasa. Jaminan bateri EVnya pula adalah selama 8 tahun/160,000 km, dengan kapasiti minimum sebanyak 70%.