Setelah sekian lama berlegar di jalan raya kita, antara model yang akan memacu pengembalian Great Wall Motor (GWM) ke pasaran Malaysia iaitu Haval Jolion telah dipertonton di Malaysia Autoshow 2023.
Pesaing kepada Honda HR-V, Toyota Corolla Cross atau Proton X50 ini nanti mungkin diimport (CBU) dari Thailand.
Dalam hal ini, Malaysia juga mungkin mendapat trenkuasa sama yang digunapakai di Thailand iaitu enjin petrol hibrid yang menghasilkan 243 PS dan 530 Nm tork. Kuasa diurus melalui transmisi DCT 7 kelajuan.
Untuk makluman anda, pasaran seperti Afrika Selatan dan Australia menggunakan enjin 1.5L turbo (152 PS, 220 Nm).
Mengenai trenkuasa hibrid yang disebutkan sebentar tadi, ia kiranya bernadikan enjin sama tetapi dengan gandingan motor elektrik.
Apapun, untuk Malaysia, masih belum dapat dipastikan trenkuasa mana yang akan beransur tetapi di Thailand, terdapat tiga varian iaitu:
- Tech – 879,000 THB (~RM 115,000)
- Pro – 939,000 THB (~RM 123,000)
- Ultra – 999,000 THB (~RM 130,000)
Dari segi saiz, Haval Jolion sebenarnya lebih besar daripada pesaing segmen B yang disebutkan. Malah, ia hanya 181 mm pendek daripada Haval H6 iaitu pesaing kepada Honda CR-V. Kedua-dua SUV ini dibangunkan berasaskan platform Lemon GWM.
Mengenai Haval Jolion yang dipertonton dalam acara Malaysia Autoshow 2023, ia dilengkapi rim 18 inci dan melihat secara kasar, ini mungkin varian Ultra yang dijual di Thailand.
Antara ciri standard yang ada pada ketiga-tiga varian Jolion termasuklah:
- Kluster digital 7 inci
- Penyaman udara automatik dwi-zon
- Infotainment 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay & Android Auto
Varian mercu, Ultra pula menambah ciri seperti:
- Bumbung suria panoramik
- Head-up display
- Infotainment 12.3 inci
- Sistem penapis udara PM 2.5
Masuk ke aspek keselamatan, kesemua Haval Jolion lengkap dengan 6 beg udara, AEB, Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist (LKA) dan Blind-spot Warning.
Eksklusif pada varian Ultra adalah sistem ADAS yang merangkumi ciri:
- Adaptive Cruise Control (ACC) dengan stop & go
- Traffic sign detection
- Rear cross traffic alert (RCTA)
- Rear cross traffic braking (RCTB)
- Low Speed Emergency Brake Assist (LSEB)
- Rear Collision Warning (RCW)
Juga baca: Haval Jolion terima 5-bintang ANCAP sebelum ke Malaysia, antara SUV dengan markah tertinggi!
Source: Haval Jolion akhirnya debut awam di Malaysia Autoshow 2023, bakal dilancar ke pasaran