Ducati lebur rekod lagi, catat 14,725 unit penghantaran Q1 2023, Multistrada V4 paling laku!

Ducati meneruskan prestasi cemerlang pada tahun lalu apabila jumlah penghantaran motosikal yang dibuat pada suku pertama (Q1) 2023 dicatatkan sebagai terbaik dalam sejarah syarikat pengeluar motosikal ikonik Itali itu.

Dengan 2022 dianggap sebagai tahun paling berjaya buat syarikat berpangkalan di Bologna itu, sepanjang tiga bulan 2023, sejumlah 14,725 unit motosikal dihantar ke pelanggan seluruh dunia, peningkatan 9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Itali kekal sebagai pasaran paling besar buat Ducati dengan sejumlah 2,717 unit motosikal dihantar yang juga peningkatan 7 peratus berbanding Q1 2022.

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pasaran kedua terbesar untuk Ducati dengan penghantaran meningkat sebanyak 21 peratus bagi Q1 2023 iaitu 1,677 unit motosikal.

Ducati Multistrada

Jerman di tangga ketiga, juga dengan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 2022 dengan sejumlah 1,666 unit motosikal dihantar.

Ducati Multistrada V4 kekal sebagai model paling popular dengan 2,668 unit motosikal dihantar ke seluruh dunia bagi tempoh berkenaan diikuti dengan Ducati Monster (2,005 unit).

Ducati Monster

Jentera lasak terbaharu jenama itu, Ducati Desert X menghuni tangga ketiga dengan 1,442 unit penghantaran yang membuktikan strategi meluaskan rangkaian produk serta meneroka segmen baharu tampaknya berjaya.

Claudio Domenicali

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali berkata data yang diperoleh membuktikan strategi syarikat itu berjaya membuahkan hasil yang hebat.

Ducati Desert X

“Berdasarkan kepada angka yang positif ini, kami akan terus bekerja keras untuk mencapai keputusan paling baik dengan sasaran utama untuk memuaskan hati komuniti Ducatisti kami,” katanya.

Ducati pada hari ini (6 Mei 2023) dijadual sekali lagi menganjurkan edisi kedua ‘We Ride As One’ yang akan dilakukan serentak di seluruh dunia termasuk Malaysia yang membabitkan empat pengedar utama Ducati di negara ini.

Source: Ducati lebur rekod lagi, catat 14,725 unit penghantaran Q1 2023, Multistrada V4 paling laku!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *