Dah boleh ‘renew’ lesen memandu 10 tahun, bayaran fi khas diskaun setahun

Kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) diperbaharui bagi tempoh sah 10 tahun dengan kadar fi pembaharuan khas bermula 8 Mei 2023.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, inisiatif ini merupakan salah satu usaha memudahkan urusan orang ramai dan memastikan pematuhan kepada peraturan sedia ada.

Orang ramai boleh mula menikmati kemudahan ini bermula 8 Mei 2023 dengan berurusan di Pejabat/Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja. Pelaksanaan urus niaga melalui rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia akan tertakluk kepada kesediaan perubahan sistem oleh pihak berkenaan.

Jika sebelum ini, pembaharuan lesen memandu dihadkan kepada tempoh 5 tahun sahaja. Melalui inisiatif ini, orang ramai boleh memperbaharui lesen memandu untuk tempoh maksima sehingga 10 tahun yang akan dikenakan bayaran fi khas bersamaan tempoh 9 tahun sahaja.

LMM masih boleh diperbaharui antara 1 sehingga 10 tahun, namun bayaran fi khas bersamaan 9 tahun itu hanya ditawarkan bagi pembaharuan 10 tahun.

“Bagi orang ramai yang berminat, mereka hendaklah memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa tidak melebihi satu tahun,” jelasnya.

Sumber: Kementerian Pengangkutan (MOT)

Inisiatif ini khas untuk warga Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas/permit jangka masa panjang atau pemegang Kad MyKAS yang terikat dengan tempoh sah laku pasport individu terbabit.

Juga baca: Tak perlu duduki semula ujian memandu untuk ‘renew’ lesen ‘mati’ – Ini syaratnya

Inisiatif ini juga hanya boleh dinikmati oleh pemegang LMM yang bebas daripada sebarang sekatan urus niaga JPJ dan tidak disenarai hitam oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), serta bebas daripada sebarang penggantungan akibat suatu hukuman atau Perintah Mahkamah.

Soalan lazim (FAQ) berkenaan inisiatif ini boleh didapati menerusi JPJ atau berhubung terus dengan talian khidmat pelanggan JPJ, tambahnya lagi.

Source: Dah boleh ‘renew’ lesen memandu 10 tahun, bayaran fi khas diskaun setahun

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *