Rebiu: Hyundai Creta di Malaysia – harga sampai RM 150k, boleh saing Honda HR-V & Toyota Corolla Cross?

Sebentar tadi, Hyundai Creta telahpun dilancarkan di Malaysia dan kami berpeluang memandu uji SUV segmen B ini secara ringkas di perkarangan Ara Damansara ke Lapangan Terbang Subang. Jadi, seberapa baguskah pencabar baru Hyundai kepada Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross yang berharga RM 150k ini?

Juga bacaMalaysia lancar Hyundai Creta – RM 150k, varian solo Plus, 1.5L NA, 115 PS/144 Nm

Dari segi pandangan pertama, walaupun dengan wajah Parametric Jewel, visual yang disampaikan oleh Creta nampak lebih lasak atau dalam bahasa omputeh, ‘rugged’. Begitu juga pada bahagian dalam yang mana bahan yang digunakan adalah keras belaka.

Perbatuan baru catat 59 km. Jadi, enjin kiranya belum ‘break in’. Lepas dipandu lebih banyak, mungkin daya pecutan, kelancaran dan penggunaan petrolnya akan lebih cekap.

Untuk mereka yang mementingkan ketahanan atau penggunaan ala mengembara, mungkin ini pilihan yang lebih sesuai berbanding pendekatan ‘keluarga’ dan premium yang disampaikan oleh pesaing handal dalam segmen ini. Menariknya, kluster digital Hyundai memang si Honda dan Toyota tak boleh lawan kerana animasi dan grafiknya nampak lebih mengagumkan.

Soal keselesaan pula, Hyundai Creta sebenarnya sedikit ‘kureng’ berbanding Hyundai Kona sendiri walaupun dengan ruang kabin yang begitu lapang. Perkara ini dapat dirasai melalui tempat duduk fabriknya yang tidak memberi sokongan menyeluruh pada bahagian depan. Tempat penyandar pada tempat duduk belakang pula terlalu kebawah dan bangkunya agak singkat, tidak mencecah belakang lutut.

Dalam topik ini, suspensinya sendiri tidak seempuk Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dan karakternya rasa sedikit kasar dan ‘kosong’. Body roll juga agak ketara sewaktu selekoh dan dari segi kadar penebat bunyi, tahap kesenyapan kabinnya tidak sehebat Corolla Cross. Barangkali hanya setaraf dengan Honda HR-V. Berkenaan stereng pada Hyundai Creta pula, terdapat ‘freeplay’ sekiranya anda memandu lurus tetapi apabila dipusing lebih, nisbahnya tidak rasa perlahan langsung.

Apapun, ada beberapa aspek yang bagus pada Hyundai Creta. Antaranya dari segi trenkuasa itu sendiri. Walaupun hanya menggunakan nadi 1.5L NA Smartstream G1.5 (115 PS, 144 Nm), talaan yang diberi pada trenkuasa ini membuatkan Creta tidak rasa lemau langsung, sekurang-kurangnya untuk pemanduan harian. Tetapi untuk memecut, memang jangan harap lebih lah sebab enjinnya bukan turbo dan kapasiti hanya 1.5L.

Dalam masa yang sama, transmisi CVT yang dikenali Hyundai sebagai IVT juga tiada bunyi meraung dan cukup lancar walaupun pada kelajuan rendah. Malah, anda mungkin takkan sedar bahawa ia sebuah CVT sampailah anda tekan minyak banyak dan waktu ini barulah raungan enjin kendengaran.

Jadi itulah sendikit pendapat dan pandangan yang dapat kami sampaikan kepada anda mengenai Hyundai Creta setakat ini. Secara keseluruhan, Hyundai Kona sendiri rasa lebih mantap walaupun ia produk yang lebih lama. Mungkin itulah bezanya model global untuk pasaran yang sudah membangun berbanding model global serantau seperti Creta yang mana selain Malaysia, ia ada di pasaran India, Indonesia dan juga Thailand. China (ix25), Rusia, Brazil, Mexico dan Afrika Selatan.

Persoalannya, dengan harga mencecah RM 150k, untuk pelanggan yang bagaimanakah Hyundai Creta disasarkan? Mungkin untuk mereka yang mahukan sebuah SUV segmen B yang nampak betul-betul macam SUV dan tidak lebih daripada itu. Atau mungkin juga untuk anda yang betul-betul tak nak sama macam orang lain.

Apapun, berkenaan ciri keselamatan ADAS Hyundai SmartSense dan butiran yang lebih menyeluruh, nantikan rebiu penuh dari kami tidak lama lagi untuk ulasan penuh mengenai pencabar SUV segmen B yang baru di pasaran kita ini.

Source: Rebiu: Hyundai Creta di Malaysia – harga sampai RM 150k, boleh saing Honda HR-V & Toyota Corolla Cross?

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *