Penunggang motosikal konsisten sumbang lebih 60 peratus kemalangan maut sejak 10 tahun lepas

Dalam tempoh 18 hingga 25 April lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 14,514 notis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Selain itu, sebanyak 500 buah motosikal turut disita sepanjang kempen Advokasi dan Op Motosikal sempena Aidilfitri 2023.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, notis berkenaan dikeluarkan selepas memeriksa 51,039 buah motosikal di 291 lokasi Point of Duty (POD) di seluruh negara.

Enam kesalahan paling banyak dikesan ialah memandu tanpa lesen (4,583 notis), lesen kenderaan tamat tempoh (2,600 notis), memandu tanpa insurans (2,364 notis), memandu dengan lesen tamat tempoh (168 notis), gagal memakai topi keledar (160 notis) dan mengabaikan lampu isyarat (120 notis).

“Menurut kajian, penggunaan topi keledar yang betul dapat mengurangkan kecederaan 25 peratus kepada pengguna motosikal.

“Oleh itu, langkah-langkah advokasi dan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan JPJ dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal,” katanya pada sidang media.

Bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian pada musim perayaan ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi tumpuan kepada usaha penguatkuasaan dan advokasi yang disasarkan kepada penunggang motosikal di seluruh negara.

Menurut Datuk Lokman, kemalangan maut melibatkan motosikal menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan kemalangan maut bagi tempoh 2010 hingga 2022.

Bagi menangani masalah ini, JPJ telah melaksanakan strategi penguatkuasaan dan advokasi khas kepada pengguna motosikal untuk menggalakkan pematuhan undang-undang jalan raya dan menghukum mereka yang melanggar peraturan yang membawa kepada kemalangan maut atau membahayakan pengguna lain.

Lokman meminta kerjasama daripada semua pengguna jalan raya khususnya penunggang dan penunggang motosikal agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Baca: Susulan kemalangan 5 motosikal berkuasa tinggi, pakar ini cadang ketatkan peraturan beli motosikal ‘besar’!

Source: Penunggang motosikal konsisten sumbang lebih 60 peratus kemalangan maut sejak 10 tahun lepas

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *