Seperti dijadualkan, pasukan yang diwakili dua juara dunia, Repsol Honda MotoGP mendedahkan seragam baharu pasukan yang dikemudi Marc Marquez dan Joan Mir bagi musim 2023 semalam di Madrid, Sepanyol.
Seperti diketahui, Marquez yang juga juara enam kali MotoGP akan bergandingan dengan juara 2020 yang juga bekas pelumba Suzuki, Joan Mir.
Tiada yang mengejutkan, seragam terbaharu Repsol Honda MotoGP kekal dengan penggunaan gabungan warna Jingga, Putih dan Merah, warna ikonik yang dibawa pasukan itu menjulang 15 gelaran dunia sejak tahun 1995.
Selepas mendominasi kempen MotoGP diantara tahun 2013 dan 2019, kem Honda tampak bergelut dengan prestasi terutama selepas bintang utamanya, Marquez berdepan masalah kesihatan dan kecederaan.
Pada musim 2020, Marquez yang juga penyandang juara hanya beraksi dalam satu pusingan. Dan pada dua musim berikutnya, pelumba kelahiran Sepanyol itu tidak dapat melengkapkan sepenuh musim selepas terpaksa mengharungi pelbagai siri pembedahan dan pemulihan.
Begitupun, khabar gembira muncul selepas pembedahan pada Jun tahun lalu di Amerika Syarikat yang dikatakan cukup berjaya.
Justeru, pelumba berusia 30 tahun itu dikatakan berada pada tahap fizikal terbaiknya sejak kemalangan di Jerez pada 2020 pada musim ini.
Tetapi disebalik tahap kecergasan dan kesihatan Marquez yang baik, timbul kebimbangan mengenai prestasi yang dihamburkan oleh jentera Honda, RC213V.
Musim lalu, Honda langsung tak merasai nikmat kemenangan dan hanya mampu melakarkan dua kedudukan podium. Situasi itu menyaksikan posisi Takeo Yokoyama diambil alih bekas Pengurus Teknikal Kawasaki, Ken Kawauchi.
Ketika ujian pra-musim di Sepang, Honda sememangnya berusaha keras dengan Marquez dilihat menguji empat jenis jentera berbeza, dua jentera musim 2022, jentera prototaip 2023 yang diuji di Valencia, November tahun lalu dan jentera ‘eksperimen’ Honda.