WSBK: Petronas MIE Honda Racing dilancar, Petronas rasmi jadi penaja utama!

Teka teki membabitkan pembabitkan Petronas bersama pasukan disertai dua pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Adam Norrodin di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) terjawab apabila syarikat gergasi itu mengesahkan statusnya sebagai penaja utama.

Barisan pelumba pasukan Petronas MIE Honda Racing dan Petronas Mie MS Racing Honda.

Pembabitan syarikat petroleum negara itu menyaksikan pasukan itu dikenali sebagai Petronas MIE Honda Racing dan Petronas Mie MS Racing Honda.

Honda CBR1000RR-R ditunggang Hafizh Syahrin

Tampil dengan pendekatan ‘menutup mulut’ sebelum ini, pengesahan itu dilakukan semalam menerusi hantaran di media sosial yang dilakukan bersama MIE Racing Japan.

Honda CBR600RR ditunggang Adam Norrodin

Turut dilancarkan adalah seragam dan jentera baharu pasukan Petronas MIE Honda Racing yang tampil serba hijau. Seperti diketahui, pada tahun ini, pasukan itu berentap dalam dua kategori iaitu elit WorldSBK dan WorldSSP.

Hafizh (kiri), Midori (tengah) dan Granado

Dalam kelas WorldSBK, pasukan yang menunggang jentera Honda CBR1000RR-R itu akan dikemudi Hafizh dan Eric Granado manakala dalam kelas WorldSSP, Adam akan bergandingan dengan Tarran Mackenzie menggunakan jentera Honda CBR600RR.

Paling gembira pastinya Hafizh Syahrin dengan kehadiran Petronas menyaksikan hubungan kedua-duanya kembali bertaut. Kepada yang tidak tahu, Hafizh yang juga bekas pelumba MotoGP negara adalah pelumba pembangunan bakat Petronas tempatan yang paling cemerlang.

Adam Norrodin

Pemilik Mie Racing, Midori Moriwaki dalam perkongsian di media sosial rasmi pasukan berkata kerjasama dengan Petronas adalah satu kebangaan buatnya.

“Ini adalah kebanggaan buat Honda MIE Racing berikutan kerjasama bersama Petronas untuk tempoh beberapa tahun dan berharap dapat mengembangkan kehadiran kami dalam perlumbaan kejuaraan motosikal produksi (WSBK),” katanya.

Pengurus Besar Kumpulan Komunikasi Strategi Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata pihaknya teruja dengan projek baharu bersama Petronas MIE Honda Racing dan berharap ia kerjasama itu mencapai kejayaan.

“WSBK akan memberikan kami peluang untuk menonjolkan kemajuan teknologi minyak pelincir Petronas dalam sukar permotoran sekaligus mengukuhkan jenama Petronas dari sudut komersial.

“Kami teruja untuk melihat pelumba-pelumba ini beraksi, kedua-duanya dalam kelas WorldSBK dan WorldSSP. Dengan kerjasama ini, kami juga berpeluang untuk mengangkat pelumba berbakat di Malaysia dalam segmen dua roda,” katanya.

Sebagai info, MIE Racing bukan asing dengan Petronas malah pernah bekerjasama ketika Hafizh masih baru di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2.

Pada tahun lalu, kedua-dua jenama sekali lagi bergandingan ketika Grand Prix Malaysia 2022 menerusi penyertaan dua pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin dan Azroy Hakeem Anuar dalam perlumbaan Moto2 menerusi tiket wildcard.

Petronas sebelum ini menarik diri sebagai penaja utama daripada kancah motosikal elit (MotoGP) yang menyaksikan pembubaran pasukan Petronas Yamaha SRT pada musim 2021.

Juga baca: Sah, Petronas akhiri perjanjian tajaan bersama Sepang Racing Team (SRT) di MotoGP tamat musim 2021!

Source: WSBK: Petronas MIE Honda Racing dilancar, Petronas rasmi jadi penaja utama!

SHARE NOW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *